Sam, Syatilla tidak mahu sorok anak


SAM dan Syatilla dijangka menimang cahaya mata lelaki pada bulan Mei depan. Pasangan ini mengambil keputusan untuk menjaga dan membesarkan anak mereka tanpa bantuan pengasuh.

TIADA apa yang lebih membahagiakan hati pasangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin apabila dijangka menyambut anak sulung mereka sekitar awal Mei depan.

Keterujaan menantikan kelahiran bayi lelaki berkenaan jelas kelihatan pada wajah Sam dan Syatilla.

Akui Sam, mereka berdua cukup berdebar dan tidak sabar untuk melihat wajah anak yang bakal lahir itu sehingga kerap melakukan imbasan 3D (tiga dimensi) di klinik.

“Sebenarnya kami berdua pantang nampak klinik, mesti hendak melakukan imbasan 3D. Sebabnya, kami mahu melihat keadaan anak dalam kandungan dan apa yang sedang dilakukannya.

“Bayangkan, sejak kandungan berusia tiga bulan kami sudah mula melakukan imbasan 3D walaupun waktu itu tidak nampak apa-apa lagi.

“Namun, kami tidak kisah kerana ia satu momen yang cukup indah dan sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Justeru itu, kami menyimpan semua video pergerakannya dalam kandungan sebagai kenangan,” kongsi Sam yang ditemui pada majlis baby shower dan pelancaran jenama pakaiannya, SamSyatilla di butik Pret-A-Porter di Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biar teruja untuk melihat dan mengetahui pergerakan bayi di dalam kandungan, namun mereka tidak melakukan persiapan yang keterlaluan.

Tabungan

Hal ini kerana, sejak awal lagi kebanyakan barangan bayi telah dihadiahkan oleh ahli keluarga, peminat dan rakan.

Menyifatkan ia sebagai rezeki anak yang bakal lahir, ujar Sam, dia lebih suka menyimpan wang untuk keperluan pada masa depan daripada berhabis untuk membeli barangan yang tidak perlu.

“Alhamdulillah, rezeki anak saya begitu murah. Biarpun belum dilahirkan, ramai orang telah memberi hadiah kepadanya. Saya dan Syatilla hanya membeli sedikit sahaja barangan bayi, selebihnya adalah hadiah.

“Bukan tidak mampu tetapi saya rasa lebih baik menggunakan wang untuk perkara yang lebih penting. Anak akan membesar dan barangan keperluannya juga pasti berubah. Jadi, ada baiknya saya menyimpan daripada membazir kepada barangan yang dipakai untuk beberapa bulan sahaja,” ujar Sam yang memang berharap untuk mendapat anak lelaki.

Kongsi kegembiraan

Dalam pada itu, Sam mahupun isterinya memilih untuk bersikap terbuka apabila anak mereka lahir kelak. Bagi mereka, sebagai artis tiada salahnya untuk berkongsi kegembiraan bersama peminat.

“Saya tidak akan sorok anak, sebaliknya akan berkongsi kegembiraan yang dirasai bersama peminat. Memang orang tahu saya seorang yang agak berahsia tetapi tiada keperluan untuk menyorokkan anak. Jika ramai orang mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan kami, itu lebih baik.

“Selepas kelahirannya, saya pasti memuat naik gambar anak kami di laman sosial Instagram sebagai kenangan dan tatapan untuk semua pihak,” kata Sam yang bakal memasuki set penggambaran filem Polis Evo 2 tidak lama lagi.

Sementara itu, berbicara tentang pengalaman hamil, Syatilla memberitahu, selain banyak membaca mengenai kehamilan dan bayi, sejak akhir-akhir ini dia kerap menonton video wanita melahirkan anak sebagai persediaan mentalnya.

“Saya pernah terfikir untuk bersalin di dalam air tetapi selepas berfikir panjang, lebih baik bersalin secara normal di atas katil hospital.

“Jika boleh saya memang ingin melahirkan anak tanpa sebarang bantuan ubat. Bagaimanapun, segalanya bergantung pada hari kejadian, kerana saya tidak tahu apa akan berlaku ketika proses kelahiran,” ujarnya yang akan berpantang secara tradisional di Kuala Lumpur.

Tambah Syatilla, dia tidak tahu berapa lama waktu yang diambil untuk berehat daripada bidang seni selepas melahirkan anak kelak.

Hal ini kerana dia dan Sam memilih untuk menjaga anak sendiri tanpa bantuan pihak luar seperti pembantu rumah.

“Saya tidak tahu berapa lama akan berehat kerana fokus hanyalah pada anak selepas dia dilahirkan. Sam juga tidak mahu campur tangan orang lain dalam proses membesarkan anak.

“Mungkin selepas melihat wajah anak, saya langsung tidak mahu berenggang dengannya. Apa pun yang saya lakukan pada masa hadapan, keutamaan adalah untuk anak,” luah Syatilla.

Post a Comment

Previous Post Next Post