JOHAN AS’ARI menafikan datang dan masuk ke bilik Aishah Bujang pada pukul 3 pagi di sebuah hotel di Singapura pada bulan lalu.
Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, pelakon Johan As’ari, 30, dikatakan telah melakukan tindakan kurang manis apabila mengetuk pintu bilik penyanyi wanita, Aishah Bujang pada pukul 3 pagi.
Kejadian itu berlaku di sebuah hotel di Singapura bulan lalu selepas mereka berdua menghadiri majlis hiburan. Hal itu diakui sendiri oleh penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 7 (AF7) tersebut.
Aishah mendakwa, tujuan pelakon drama dan filem Juvana itu hadir ke biliknya adalah sekadar mahu berborak dengannya. Wanita berusia 26 tahun itu juga mengatakan Johan datang dengan ditemani oleh beberapa orang rakan lain.
Walau bagaimanapun, jawapan berbeza diberikan oleh Johan. Dia menafikan mengetuk pintu bilik wanita itu, apatah lagi masuk berborak di dalam bilik Aishah seperti yang didakwa.
Ketika dihubungi Kosmo!, Johan berkata, dia tidak tahu bagaimana khabar angin tersebut boleh timbul, sedangkan hal itu tidak pernah terjadi.
KOSMO!: Apakah perasaan Johan apabila nama anda dikaitkan dengan gosip kurang molek seperti ini?
JOHAN: Saya pelik kerana seingat saya, apa sahaja yang dikatakan oleh Aishah, hal itu tidak pernah berlaku. Sepanjang majlis di Singapura, saya ditemani oleh pengurus, Faizal Saharuni dan memang tiada masa untuk pergi melepak di bilik orang lain terutama di bilik anak dara pada waktu sedemikian (pukul 3 pagi).
Apakah yang anda lakukan sebenarnya selepas majlis itu tamat?
Selepas majlis itu tamat, saya dan pengurus keluar sebentar untuk bertemu keluarga serta rakan-rakan di Singapura. Kami kemudian pulang ke hotel dan terus naik ke bilik untuk tidur. Saya tidak ingat pula ada singgah ke bilik orang lain kerana badan pada masa itu sudah penat dan cuma mahu berehat.
Aishah membuat kenyataan mengesahkan anda ada datang ke biliknya pada pukul 3 pagi kerana tidak puas berbual di majlis. Bagaimanakah reaksi anda terhadap kenyataan yang diberikan?
Saya malas hendak panjangkan isu ini kerana tidak berbuat apa-apa kesalahan seperti yang didakwa. Jika itu kenyataannya, saya reda kerana masing-masing tahu bila, di mana dan apa yang kami lakukan pada ketika itu. Apa yang Aishah beritahu, itu adalah haknya dan saya tidak boleh halang.
Aishah juga memberitahu bahawa kalian berdua ada bertukar-tukar nombor telefon. Adakah ia benar-benar berlaku?
Mungkin saya ada memberinya nombor telefon saya tetapi tidak pernah meminta nombornya. Sehingga sekarang, kami tidak berhubung untuk berbincang soal ini kerana saya memang tiada nombor telefon Aishah.
Dimanakah sebenarnya anda berjumpa dan berborak dengan Aishah jika bukan di dalam bilik?
Seingat saya, kami berborak sebentar ketika di majlis. Kemudian, kami ada berbual sewaktu terserempak di dalam lif. Oleh sebab itu, saya hairan bila masa pula saya pergi ke biliknya dan masuk ke dalam untuk melepak.
Bila nama anda dikaitkan dengan gosip seperti ini, pastinya sedikit sebanyak ia mencalar keperibadian anda. Adakah anda berasa terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan ini?
Apa yang boleh dikatakan ialah saya tiada niat buruk terhadap Aishah dan tidak terfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita. Saya juga ingin tegaskan bahawa tiada apa-apa yang berlaku seperti yang ditulis sebelum ini.
Adakah anda mahu mengambil apa-apa tindakan di atas tuduhan ini?
Saya lebih suka biarkan ia senyap sendiri. Apa yang penting, saya tidak bersalah. Lebih baik saya fokus sahaja kepada kehidupan dan kerjaya daripada melayan perkara remeh seperti ini.