Noraniza Idris Usaha memartabatkan irama Malaysia


BAKAL mengundurkan diri dalam bidang seni suara, namun semangat juang ratu irama Malaysia, Noraniza Idris tetap membara.

Rentetan itu, penyanyi berusia 49 tahun ini memperkenalkan kempen #SaveIramaMalaysia bermula 15 Januari lalu dan bakal berakhir 31 Ogos depan.

Kempen anjuran Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd(NIPVSB) itu, merupakan salah satu usahanya memartabatkan irama Malaysia dalam industri hiburan tanah air.

“Ia antara usaha saya memastikan irama Malaysia tidak pupus ditelan arus zaman,” katanya.

Menyedari masa semakin suntuk untuk terus berjuang, Noraniza mendapatkan kerjasama dan sokongan Persatuan Penggiat Seni Irama Malaysia.

Tidak ketinggalan, katanya, kempen itu membabitkan pelbagai persatuan yang berkaitan dengan seni dan hiburan agar turut memainkan peranan masing-masing.

“Insya-ALLAH, saya bakal bersara pada akhir tahun ini.

“Jika tiada apa-apa, saya akan ke Makkah mengerjakan umrah. Selepas itu, saya berhasrat untuk aktif di sebalik tabir.

“Jadi, saya berharap ada pihak-pihak tertentu dalam industri akan terus memainkan peranan meletakkan seni dan akar budaya Melayu pada satu tahap yang membanggakan,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi lagu Ngajat Tampi ini berharap stesen radio swasta memutarkan lagu-lagu irama Malaysia agar tidak dipandang sepi pendengar.

“Sekiranya ada arahan pihak atasan ke atas stesen radio swasta untuk memutarkan lagu-lagu tradisional, saya yakin mereka tidak ingkar.

“Bantulah kami membawa lagu-lagu tradisional atau irama Malaysia kerana lagu berkonsepkan etnik ini membawa mesej penyatuan, motivasi dan modal insan,” katanya.

Noraniza turut menjalinkan kolaborasi dengan pendatang baru, Tyka bagi menghasilkan single duet, Wangikanlah Hatimu.

Katanya, single ini berkonsepkan Pop Etnik dan Tradisional sekali gus menggabungkan elemen dikir barat, Siam dan Sunda ciptann Amir Jahari manakala lirik, Ahmad Fedtri Yahya

“Lirik lagu ini ada mesej sangat mendalam ia berunsur nasihat dan ingatan,” katanya.

Noraniza meletakkan harapan agar lebih ramai penggiat seni muda dapat dilahirkan sekali gus mewarnai industri muzik Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post