Karier Dayang Nurfaizah mengatasi cinta


ALBUM: Ketika ramai artis memilih untuk menerbitkan single demi single, Dayang tetap mahukan sebuah album kerana baginya, itu adalah bukti kelangsungan karier seninya sebagai penyanyi.

Menjelang usia 36 tahun dan masih solo, itu adalah suatu perkara yang tidak pernah terbayang dalam fikiran Dayang selama ini. Jauh di sudut hatinya, dia berharap sudah bergelar isteri pada usianya sekarang.

Pernah dituduh sebagai lesbian kerana tidak pernah digosipkan dengan mana-mana lelaki, Dayang menegaskan, sebagai seorang wanita, dia juga mahu berkahwin, cuma tiada calon yang sesuai.

“Saya memang seorang yang menjaga privasi terutama apabila melibatkan soal peribadi tetapi jika ada berita baik, saya tidak akan menyorokkannya.

“Apabila sudah betul-betul akan berkahwin dan sudah tetap segala tarikh, barulah saya akan umumkan kepada orang ramai. Itu prinsip saya. Saya tidak mahu sibuk mencanang cerita cinta tetapi akhirnya majlis yang dirancang tidak menjadi,” katanya.

Tegas Dayang, buat masa ini dia tiada teman lelaki istimewa atau sedang dalam proses berkenalan dengan sesiapa. Fokusnya hanya nyanyian.

Untungnya Dayang, kedua-dua ibu bapanya juga tidak pernah mempertikaikan soal jodoh dan kehidupan solo yang dijalaninya.

“Apabila tidak sibuk bekerja, masa saya banyak diluangkan di rumah kerana saya memang bukan seorang yang pandai bersosial.

“Harap peminat juga mendoakan yang terbaik buat saya. Semoga dengan doa-doa kalian, jodoh saya segera tiba,” katanya tertawa kecil sambil menutup cerita.


Hampir tiga bulan selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL31), penyanyi berkulit hitam manis, Dayang Nurfaizah Awang Dowty semakin ligat menyahut tawaran yang mencurah-curah.

Terbaharu, dia bakal tampil selaku penyanyi jemputan dalam sebuah konsert amal Tapestry Of Colours anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas pada 29 Julai depan.

Naib Canselor UTP, Datuk Ir. Dr. Abd. Rahim Hashim menjelaskan, pemilihan Dayang sebagai artis jemputan dibuat kerana mahu penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu menjadi ikon bagi semua penuntut universiti berkenaan.

Hanya mampu tersenyum dan mengucapkan ribuan terima kasih atas segala penghargaan dan pujian yang diberikan, ternyata Dayang tidak pernah terfikir bahawa akan tiba suatu masa, ada pihak sudi memberikan penghormatan sebegitu buat dirinya.

“Apabila mendengar perkataan ikon datang daripada mulut Datuk Abd. Rahim Hashim, saya terkesima seketika kerana ia bukan pujian semata-mata tetapi datang bersama tanggungjawab yang besar.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk konsert ini dan berharap dengan nyanyian saya pada malam itu nanti, akan membantu UTP mencapai jumlah kutipan dana yang disasarkan,” katanya pada sidang akhbar konsert berkenaan di Galeri Petronas, Suria KLCC baru-baru ini.

Selain itu, Dayang turut berkata, antara sebab utama dia bersetuju untuk bekerjasama dengan UTP kerana memikirkan konsert berkenaan bertujuan mengutip dana mengisi tabung Yayasan UTP dan akan dimanfaatkan untuk keperluan pelajar yang memerlukan.

Kata pelantun lagu Lelaki Teragung itu, dia tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan pelajar-pelajar berbakat yang akan turut membuat persembahan pada konsert tersebut.

“Saya kagum dengan bakat seni yang ada pada mereka seperti bermain alat muzik, menyanyi lagu asli dan kebolehan menari tarian tradisional walaupun hakikatnya, mereka adalah pelajar jurusan teknologi serta kejuruteraan.

“Menjadi sebahagian daripada Tapestry Of Colours merupakan sebuah sumbangan saya buat para pelajar. Meskipun ia tidak sehebat mana, sekurang-kurangnya saya telah melakukan sesuatu untuk kebaikan dan masa depan generasi muda,” ujarnya yang bakal menyanyikan empat buah lagu pada konsert berkenaan.

Pejamkan Mata


KONSERT mini: Tiket bagi konsert mini Dayang yang bakal diadakan di MATIC, Kuala Lumpur pada 18 April depan mendapat sambutan hangat daripada peminat, bahkan sudah hampir habis dijual.

Beralih ke arah topik perkembangan terkini karier seninya, umum mengetahui bahawa Dayang bakal melancarkan album terbaharu bertajuk Dayang Nurfaizah pada 18 April nanti, sekali gus mengadakan konsert mini buat peminat.

Bakal menyanyikan 10 buah lagu baharu yang dimuatkan di dalam album baharunya, persembahan yang mengambil tempat di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur nanti disifatkan Dayang sebagai hadiah bagi mengubati kerinduan peminat yang sudah lama menyokong kerjayanya sejak 18 tahun dalam industri.

Tambah Dayang lagi, berbanding konsert secara besar-besaran, dia lebih suka mengadakan persembahan berskala kecil kerana mahu memberi ruang untuk beramah mesra dengan peminat yang datang.

“Kebiasaannya memang album akan dilancarkan dahulu barulah ada persembahan atau showcase dibuat tetapi saya merasakan jika berbuat demikian, ia menjadikan majlis pelancaran itu seolah-olah ‘kosong’.

“Jadi saya fikir, apa salahnya jika saya lakukan kedua-duanya secara serentak, ia akan menjimatkan masa, wang dan tenaga selain memberikan sesuatu yang menarik untuk peminat,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Dayang turut mengulas isu lagu duetnya bersama Malique iaitu Pejamkan Mata yang didakwa tidak dipromosikannya secara meluas.

Pemenang Vokal Terbaik AJL sebanyak tiga kali berturut-turut itu menegaskan, lagu Pejamkan Mata merupakan milik Malique, manakala dia hanya bertindak selaku rakan duet. Atas alasan itu, hal-hal promosi sepatutnya datang daripada Malique, bukan tanggungjawab Dayang sepenuhnya.

Bagi Dayang, dia sudah melakukan usaha promosi sehabis mampu dengan bercerita tentang lagu berkenaan dalam sesi temu bual bersama media atau ketika hadir di stesen radio.

Dayang sendiri tidak pernah bertemu dengan Malique, sebaliknya hanya bercakap dengan bekas anggota Too Phat yang sudah lama menghilangkan diri itu menerusi telefon.

“Jika pihak Malique memanggil saya untuk turun padang mempromosikan lagu Pejamkan Mata, saya bersedia sepenuhnya pada bila-bila masa tetapi bercakap dari segi hak, lagu itu berada bawah tanggungjawab Malique.

“Setakat ini, belum ada permintaan untuk saya menyanyikan lagu ini secara langsung tetapi jika ada, kalau boleh saya mahu Malique sendiri yang berduet dengan saya. Itu semua bergantung pada keadaan, saya cuma mampu berharap,” ujar Dayang yang tidak merakam lagu berkenaan bersama-sama Malique, sebaliknya ia dirakam secara berasingan.

Post a Comment

Previous Post Next Post