Dipanggil buruk, Nuha AF tukar imej


Sam Nuhair berharap single keduanya, Kau Menjauh mampu menaikkan namanya sebagai penyanyi baharu yang mencari ruang untuk dikenali dalam industri muzik tempatan.

SEWAKTU kemunculannya menerusi program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Sam Nuhair dilabel sebagai seorang yang periang dan bersikap positif.

Sesuai dengan karakter tersebut, stail yang digayakan oleh penyanyi berusia 24 tahun itu juga kelihatan santai dan sesuai dengan usianya. Dia jarang bersolek seperti kebanyakan artis wanita lain. Namun, imej yang dirasakan sesuai pada waktu itu akhirnya memakan diri sendiri.

Bertemu dengannya pada majlis pelancaran majlis ramah mesra media di RedBox, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilik nama lengkap Syamila Nurhair Zainordi itu mengakui pernah digelar buruk hanya kerana wajahnya tidak dioles dengan solekan.

Menurut Sam, insiden tersebut benar-benar meninggalkan impak kepada dirinya. Justeru, sejak itu penyanyi yang pernah dikenali dengan nama pentas Nuha berazam untuk mengubah gaya dan penampilannya.

Pada masa yang sama, Sam turut bercerita mengenai single keduanya, Kau Menjauh dan peluang yang cuba diintai menerusi pengurusan baharunya, Joe PRC International.

KOSMO!: Apa khabar Sam? Anda kelihatan sedikit langsing berbanding sebelum ini. Adakah anda sengaja menurunkan berat badan untuk promosi single kedua?

SAM Nuhair: Khabar baik. Sebenarnya, sekitar tahun lalu selera makan saya berkurangan. Jadi, secara tidak langsung, badan kelihatan sedikit susut tetapi saya selesa dengan berat sekarang lebih-lebih lagi apabila saya sudah berimej baharu.

Mengapakah anda memutuskan untuk mengubah imej?

Sekitar tahun lalu, saya pernah ditegur oleh seorang penjual kuih. Pada mulanya, dia bertanya adakah saya Nuha yang pernah menyertai AF2014. Saya mengiyakan pertanyaan wanita tersebut.

Namun, apa yang dibalas agak mengejutkan. Katanya, saya kelihatan buruk berbanding penampilan saya dalam televisyen. Mungkin disebabkan kata-kata tersebut saya nekad untuk mengubah imej.

Apakah pendekatan awal yang anda lakukan selepas insiden tersebut?

Disebabkan saya menutup aurat, saya cuba untuk mengikuti trend bertudung seperti wanita berhijab lain. Selain itu, saya juga belajar untuk menggunakan solekan pada wajah dan menggunakan kanta lekap bagi menggantikan kaca mata yang saya gunakan sebelum ini. Pada masa yang sama, saya cuba untuk menjadi ‘lebih wanita’ dan belajar menggunakan kasut tumit tinggi.

Adakah penukaran nama Nuha kepada Sam Nuhair merupakan sebahagian daripada rangka promosi?

Saya cuma mahu menjenamakan semula diri saya sebagai seorang penyanyi. Sam merupakan nama panggilan saya di sekolah, manakala Nuhair pula diambil daripada nama kedua saya, Nurhair. Menerusi pembaharuan ini, peminat juga dapat melihat transisi saya sebagai anak seni dalam industri muzik.

Anda merupakan alumni Akademi Fantasia. Bagaimanakah anda melihat perjalanan seni anda selepas menyertai program tersebut?

Sejujurnya agak payah. Sewaktu berada dalam program Akademi Fantasia, segalanya telah tersedia buat saya. Kelas pembelajaran vokal, pentas konsert mingguan dan liputan media merupakan antara perkara yang saya tidak dapat selepas itu. Biarpun sedikit sukar tetapi saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang nyanyian masih ada.

Boleh ceritakan sedikit mengenai lagu Kau Menjauh?

Lagu tersebut begitu istimewa bagi saya. Ia ditulis ketika saya berusia 17 tahun dan melodinya terhasil menerusi pengalaman saya sendiri. Saya berasa bangga kerana lagu yang telah lama dihasilkan kini menjadi sebuah karya yang dimainkan di corong radio.

Anda kini diuruskan oleh pengurusan baharu. Apakah harapan anda selepas ini terutama dari segi kerjaya sebagai penyanyi?

Saya berasa sangat bersyukur kerana pihak pengurusan iaitu Joe PRC International yakin dengan bakat yang saya miliki. Banyak yang telah diaturkan dan saya berharap agar segalanya berjalan dengan lancar.

Post a Comment

Previous Post Next Post