MERIAH. Putri Yasmin (dua dari kanan) dan Ketua Operasi dan Pengacaraan TGV Cinemas, Kabir Ariff Sultan (kanan) serta Sinan Ismail (lima dari kiri) bergambar bersama para selebriti termasuk Awal Ashaari dan Lara Alana (tiga dari kanan) yang turut hadir memeriahkan sidang akhbar Didi & Friends baru-baru ini.
PROGRAM animasi kanak-kanak popular Didi & Friends yang mula mendapat tempat dalam hati penonton sejak 2014 kini kembali dengan siri baharu menerusi Cerita-Cerita Didi & Friends.
Menampilkan sebanyak 20 episod terkini, Cerita-Cerita Didi & Friends disuntik nafas segar apabila mengajak penonton berhibur sambil belajar menerusi format penceritaan yang sarat nilai-nilai murni.
Antara tajuk cerita pendek yang terdapat dalam siri terbitan syarikat Durian Digital Sdn. Bhd. tersebut adalah Mon Ke Sekolah, Jom Kitar Semula, Pulau Hokey Pokey, Jom Ke Dunia Teko dan Lembu Pak Atan.
Penonton juga boleh melanggan siri tersebut menerusi saluran Astro First (480) bermula 16 Mac lalu dengan harga serendah RM15.90 untuk lima hari siaran berturut-turut.
Lebih menarik, siri yang popular dengan watak-watak comel seperti Didi, Jojo, Nana, Tatak, Pak Atan dan Bingo berkenaan turut ditayangkan di 13 buah pawagam TGV Cinemas terpilih di seluruh negara bermula tarikh sama.
Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin menjelaskan, hasil sambutan luar jangkaan sejak program berkenaan bersiaran pada tahun lalu membuatkan pihaknya berbesar hati untuk menjadi rakan penyiar sekali lagi.
“Untuk siri terbaharu ini, Cerita-Cerita Didi & Friends lebih istimewa dan mempunyai pembaharuan apabila menggabungkan elemen nyanyian dan lakonan. Ia adalah percubaan yang menarik daripada pihak Durian Digital kerana dengan cara sebegini boleh menarik lebih ramai penonton dalam kalangan kanak-kanak.
“Elemen ilmu dan unsur-unsur nasihat yang diterapkan dalam siri terbaharu ini juga diharap mampu menjadi rujukan terbaik buat ibu bapa dalam memberi hiburan berbentuk informasi kepada anak-anak mereka,” ujarnya.
Sementara itu, pengasas Digital Durian, Sinan Ismail pula berkata, perkembangan positif Didi & Friends terjadi disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa yang mahu ia dipanjangkan menjadi format cerita.
“Jika dahulu, siri Didi & Friends hanya terdapat dalam format lagu tetapi sekarang peminat dapat menonton dalam bentuk penceritaan. Durasi tayangan juga dipanjangkan menjadi tujuh minit merangkumi segmen nyanyian selama dua minit, manakala penceritaan pula mengambil masa selama lima minit,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai kerjasama dengan TGV Cinemas, Sinan menambah, pihaknya berbesar hati kerana mendapat kepercayaan menayangkan siri popular tersebut ke layar perak dan memberi pengalaman baharu kepada penonton.
“Bukan hanya dapat merasai pengalaman menonton siri tersebut dalam versi skrin yang lebih besar di pawagam, TGV Cinemas juga memastikan persekitaran di dalam dan di luar pawagam diceriakan dengan dekorasi Didi & Friends bagi mencipta suasana yang mengujakan untuk kanak-kanak.
“Teknik pencahayaan di dalam pawagam juga akan diterangkan sesuai konsep tontonan golongan kanak-kanak. Lebih menarik, maskot Didi & Friends juga akan membuat kemunculan khas di beberapa lokasi terpilih semasa tayangan untuk memberi kejutan kepada penonton yang hadir,” ulas Sinan.
Antara cawangan TGV Cinemas yang terlibat dalam penayangan Cerita-Cerita Didi & Friends adalah TGV AU2 Setiawangsa, TGV KLCC, TGV Sunway Piramid, TGV Seremban 2, TGV Bukit Tinggi, TGV 1st Avenue, TGV Kinta City, TGV Tebrau City, TGV Mesra Mall, TGV Vivacity, TGV D’Pulze, TGV 1 Utama dan TGV Bukit Mertajam.