Gusar percubaan serius Eeza Zainal


PENGALAMAN beraksi melalui pertandingan nyanyian dilihat sebagai senjata paling ampuh buat personaliti Bakat Baru minggu ini, Eeza Zainal, 24, dalam membuktikan kebolehannya.

Biarpun masih bersisa rasa kecewa kerana gagal mara ke peringkat akhir program 3 Juara terbitan TV3, namun sedikit pun tidak melemahkan semangat juang bintang muda kelahiran Klang, Selangor ini untuk terus mengejar cita-cita bergelar penyanyi profesional.

Tidak mahu menoleh ke belakang, Eeza atau nama lengkapnya, Nur Shafreeza Zainal Abidin bertuah kerana bakatnya sudah pun ‘diintai’ komposer terkenal, Ajai yang menyuntingnya sebagai artis rakaman syarikat muzik komposer hebat itu, Wake The Baby.


“Saya percaya pada rezeki. Alhamdulillah, meski tidak berjaya bergelar juara untuk rancangan tersebut, sekurang-kurangnya saya sudah cuba memberikan yang terbaik, apatah lagi nyanyian merupakan cita-cita sejak belajar lagi.

“Lalu apabila dipelawa Ajai untuk merakam single dan menjadi artis di bawah naungan syarikatnya, saya terima dengan hati terbuka.

"Alhamdulillah, dia nampak bakat yang ada dan pastinya, saya cuba bawa tanggungjawab ini dengan sebaiknya, Insya-ALLAH,” terang Eeza yang bakal muncul dengan single berjudul Gusar, Mac depan.

Komitmen 100 peratus

Ditanya mengenai lagu tersebut dengan lebih terperinci, anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, Gusar merupakan sebuah lagu berentak modern R&B ballad yang mungkin baru dalam kalangan pencinta muzik tempatan.

“Muziknya segar dan sinonim dengan imej. Kalau nak diikutkan, muzik ini masih baru di Malaysia dan harapnya, peminat dapat menerima genre ini. Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Ajai. Saya teruja selepas dengar demonya sekali gus menjadikan proses rakaman lebih mudah,” katanya.

Melihat kepada sisi kerjayanya yang masih lagi ‘hijau’, Eeza yang pernah menyertai pertandingan Bintang RTM 2016 menambah, Gusar adalah percubaan seriusnya untuk berada dalam kalangan penyanyi negara ini.

“Gusar adalah single solo pertama dan pastinya, saya memberikan komitmen 100 peratus. Untuk survive dalam industri seni bukanlah suatu tugas mudah.

"Sebab itulah, saya tidak kisah bermula dari bawah atau perlu memasuki pertandingan nyanyian semata-mata mahu membuka mata ramai terhadap apa yang boleh saya sumbangkan kepada pencinta muzik tempatan.

“Lalu apabila diberi peluang, saya anggap diri ini bertuah. Mana mungkin saya boleh melepaskan peluang yang ada di depan mata.

"Bagi saya, tidak mengapa jika gagal jadi juara dalam kedua-dua program tersebut. Apa yang lebih penting, bagaimana cara kita terus bertahan selepas pertandingan,” terang Eeza memberikan pendapat.

Eeza tidak malu mengakui dia pernah cuba 'masuk’ dalam industri nyanyian suatu ketika dulu tetapi nasib tidak menyebelahinya mungkin kerana zero pengalaman dan menganggap diri masih mentah.

Tidak pernah berputus asa, Eeza bangkit semula dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

“Alhamdulillah, usaha saya makin menampakkan sinar. Harapnya peminat muzik dapat menerima kehadiran saya dalam sisi yang serba baru. Semoga Gusar juga sukses,” akhiri bekas graduan jurusan Muzik Komposisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post