Waris berniaga ikut musim

BUKAN tidak menyakini karier nyanyian sebagai jaminan masa depan, sebaliknya berpegang pada prinsip lebih baik merancang demi kehidupan lebih kukuh, penyanyi W.A.R.I.S kini mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Mengambil kesempatan musim sekolah yang baru dibuka awal bulan lalu, pelantun lagu Rembau Most Wanted itu meraih pendapatan lumayan apabila jualan baju sekolah jenama Waghih yang diusahakannya mendapat sambutan luar biasa.

Jenama pakaian sekolah merupakan perniagaan kedua yang diusahakan W.A.R.I.S setakat ini selepas kali pertama berniaga air minuman pada bulan Ramadan tahun lalu.

Ikuti cerita daripada penyanyi berusia 30 tahun itu tentang cabang perniagaannya serta perancangan karier untuk tahun ini.

KOSMO!: Melihat kepada perkembangan terkini, W.A.R.I.S dilihat aktif menjalankan bisnes pakaian sekolah. Boleh ceritakan dengan lanjut mengenai perkara tersebut?

W.A.R.I.S: Alhamdulillah, perniagaan baju sekolah yang diusahakan sejak penghujung tahun lalu mendapat sambutan di luar jangkaan. Semua stok habis terjual dalam masa sebulan.

Sasaran awal, saya hanya mengeluarkan sebanyak 1,500 pasang dan dijual di sekitar Negeri Sembilan iaitu Senawang, Kuala Pilah dan Rembau.

Disebabkan sambutan luar jangkaan, insya-Allah saya akan menambah koleksi merangkumi baju pengawas, pakaian baju sekolah lelaki berlengan panjang dan tudung. Jika ada peluang saya ingin melebarkan sayap perniagaan ini ke seluruh negara.

Bagaimana idea menjalankan bisnes pakaian sekolah ini tercetus?

Ia tercetus hasil perbincangan dengan rakan-rakan. Ketika saya menghabiskan masa bersama penyanyi Juzzthin, kami ada bercakap mengenai perancangan masa depan.

Pada waktu itu, Juzzthin berkata dia masih dalam penggambaran drama bersiri Oh, My English!, jadi dari situ saya terfikir mengapa tidak ambil peluang menjual pakaian sekolah memandangkan musim persekolahan juga akan bermula.

Setakat ini, tiada selebriti lain yang mengusahakan bisnes sedemikian, jadi saya berasa terharu kerana sambutannya di luar jangkaan memandangkan saya juga mempunyai kelompok peminat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Nampaknya sekarang anda semakin aktif melibatkan diri dengan bisnes, adakah tawaran nyanyian semakin merudum?

Memang betul, saya buat bisnes sebab fikirkan masa depan sendiri dan keluarga tetapi bisnes hanya dilakukan pada masa-masa tertentu sahaja. Seperti contoh, bisnes air minuman Air Conteng pada bulan puasa, manakala baju sekolah pula pada penghujung tahun.

Saya buat bisnes berkaitan keperluan masyarakat bukannya bergantung pada trend. Setiap tahun ibu bapa akan membeli pakaian baju sekolah baharu untuk anak-anak, jadi saya ambil peluang ini untuk meraih pendapatan dan menyediakan produk berkualiti serta mampu milik dalam kalangan masyarakat.

Bagaimana pula dengan momentum karier muzik anda setakat ini?

Selepas selesai berniaga baju sekolah, sekarang masanya untuk saya kembali fokus kepada muzik. Single terbaharu saya berjudul Tepuk sudah siap dirakam dan akan dilancarkan dalam masa terdekat. Single tersebut dibuat khas untuk cahaya mata saya, Muddassir yang kini sudah berusia empat bulan. Ia sebagai hadiah atau tanda kasih sayang saya kepadanya.

Lagu itu ditulis sejak dia masih dalam kandungan. Selain itu, saya bakal muncul dengan sebuah single baharu bersama aktres Nora Danish. Menariknya, dalam single tersebut, saya akan menyanyi, manakala Nora pula menyampaikan bahagian rap. Ia akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Boleh kongsikan perasaan anda selepas empat bulan bergelar bapa?

Alhamdulillah, kehadiran cahaya mata membuatkan saya belajar mengurangkan marah dalam percakapan.

Sebenarnya, sudah menjadi stail percakapan orang Negeri Sembilan bertutur dengan nada yang

agak kasar

dan seperti marah-marah tetapi sejak ada anak, saya

belajar untuk rendahkan nada ketika bercakap.

Post a Comment

Previous Post Next Post