Mia Ahmad & Izham selamat diijabkabul


CINTA TWITTER - Laman sosial Twitter menjadi jaringan komunikasi awal buat Izham dan Mia sebelum perhubungan mereka bertambah mesra, kemudiannya menumbuhkan bibit cinta.

PENYATUAN cinta selebriti hiburan dengan pemain bola sepak bukan lagi sesuatu yang asing bagi khalayak peminat dunia hiburan. Biarpun padang permainan mereka berbeza trek dan laluan, namun sudah namanya jodoh, ikan di laut, asam di darat, di dalam periuk bertemu juga. Itu yang berlaku kepada Mia Ahmad dan pasangannya, Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

Segak dan anggun mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Lynda Rahim, kedua-dua mempelai selamat diijabkabulkan oleh Naib Kadi Masjid Nurul Islam Aulong, Abdul Rashid Azidin.

Dengan sekali lafaz, Mia Ahmad atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi, 29, kini sah bergelar isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Izham Tarmizi, 26.

Pagi Jumaat lalu, berlokasikan Taiping Sentosa Villa, majlis pernikahan berlangsung dalam suasana harmoni, disaksikan kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Apa yang kami rancang sudah terjawab pada hari ini,” ujar Mohd. Tarmizi yang berasal dari Marang, Terengganu.

Menurut Mia, dia pada awalnya agak gementar, namun sebaik sahaja akad nikah dilafazkan, hatinya melonjak kesyukuran apabila insan yang dicintai kini sah menjadi pemimpin dunianya.

Mia menerima mas kahwin berjumlah RM2,000 berserta tujuh dulang hantaran. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan. Mohd. Izham pula menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan sebagai balasan.

Seperti impian mana-mana wanita yang baru menginjak kaki ke alam perkahwinan, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Hati Perempuan itu sama. Dia menadah kedua-dua telapak tangan, memohon limpah rahmat daripada Ilahi, agar kebahagiaan dapat dikecapi sehingga ke akhir hayat.

Pinta Mia, semoga persefahaman akan terus mengikat hati mereka untuk meladeni hidup sampai ke hari tua.

Mujurnya kata Mia, sepanjang perkenalan, Izham amat memahami kariernya sebagai anak seni.

“Saya dan suami mengenali antara satu sama lain semasa kami sudah berada dalam karier masing-masing. Jadi, saya berharap persefahaman ini berterusan, terutamanya sewaktu melayari bahtera perkahwinan,” ujarnya yang berasal dari Aulong, Taiping, Perak.

Ditanya mengenai keistimewaan dimiliki Izham, Mia memberitahu, suaminya itu merupakan seorang yang sangat halus dalam berbicara.

Karakter tersebut ternyata menguatkan firasat untuk menamatkan zaman bujang bersama lelaki tersebut.

Diajak berbicara mengenai rutin baharunya selepas bergelar isteri, Mia berkata, dia akan menetap di Johor Bahru, Johor selepas berkahwin.

Jelasnya, biarpun tidak lagi tinggal di ibu kota, jarak dan status yang baru disandang tidak akan menjadi halangan baginya meneruskan perjalanan sebagai seorang anak seni.

“Cuma, pada peringkat awal perkahwinan ini, saya mungkin akan memperlahankan sedikit perjalanan karier seni bagi menumpukan lebih masa kepada suami,” katanya.

Mengimbau kembali perjalanan cinta mereka kira-kira setahun lalu, Izham mengakui mula terpikat dengan kejelitaan Mia sewaktu menonton drama bersiri Hati Perempuan.

Sejak itu, terdetik di hatinya untuk mengenali Mia dan rezeki memihak kepadanya apabila mereka dapat bertemu mata buat pertama kali di Johor Bahru sekitar Disember dua tahun lalu.

“Selepas pertemuan itu, kami mula berhubung menerusi Twitter.

“Jujurnya, sikap Mia yang suka mengambil berat dan tidak terlampau mendesak dalam segenap aspek membuatkan saya terpikat padanya,” ujarnya.

Ditebak mengenai perancangan untuk memiliki zuriat, Izham berkata, mereka tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya reda dengan ketentuan Ilahi.

Dalam pada itu, mereka bercadang untuk menunaikan umrah sebagai destinasi bulan madu.

Menurut Mia, tarikh mengerjakan umrah belum diputuskan memandang jadual Izham bersama JDT masih sibuk terutama bagi menempuh saingan Liga Super yang bermula pada minggu depan.

“Sekiranya dia mendapat pelepasan daripada pasukan, impian kami untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebagai suami isteri akan tercapai tidak lama lagi,” kata Mia yang turut mengadakan majlis resepsi perkahwinannya pada hari sama bertempat di Taiping Golf & Country Club, malam Sabtu lalu.

Bertemakan tradisional Melayu, kedua-dua mempelai anggun mengenakan busana rona merah jambu sedondon yang masih mengekalkan sentuhan daripada pereka Lynda Rahim.

Majlis dihadiri lebih 2,000 tetamu termasuk keluarga, sanak-saudara dan kenalan masing-masing.

Post a Comment

Previous Post Next Post