Khai Bahar Tidak Cemburu Kejayaan Aiman Tino & Sufian Suhaimi


Penyanyi Khai Bahar memberitahu dia tidak pernah berasa cemburu dengan kejayaan artis seangkatan dengannya seperti Aiman Tino dan Sufian Suhaimi walaupun dia lebih awal mencipta fenomena di media sosial.

Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharudin, 23, menganggap kejayaan dua arits itu merupakan rezeki bagi mereka kerana sambutan luar biasa terhadap lagu masing-masing.

"Saya anggap itu semua rezeki yang sudah ditentukan, tapi saya bersyukur single pertama saya Bayang tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.


Sufian Suhaimi (kiri) dan Aiman Tino

"Cuma rezeki saya belum sampai untuk beraksi di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu, Insya-Allah saya harap diberi peluang untuk berada di pentas besar seperti itu," ujarnya kepada mStar Online.

Khai mengulas tentang single pertamanya berjudul Bayang tidak dapat menyaingi lagu rakan seangakatannya seperti Aiman Tino yang popular dengan lagu Rela Ku Benci dan Sufian Suhaimi (Terakhir).

Khai sebelum ini menjadi fenomena apabila duetnya dengan Siti Nordiana di aplikasi Smule menerusi lagu Memori Berkasih menjadi tular.

Video berkenaan turut ditonton lebih lapan juta kali di YouTube.


Dalam pada itu, Khai menganggap kehadiran penyanyi-penyanyi baharu sebagai satu saingan yang sihat dan tidak langsung menjejaskan kerjayanya.

"Saya berada dalam industri ini bukan sebab nak popular sahaja, saya hanya ingin tunjukkan bakat. Jadi, saya tidak rasa terjejas pun jika munculnya penyanyi-penyanyi baru,” ujarnya.

Sementara itu, Khai berkata, dia juga bakal mengeluarkan single kedua pada bulan hadapan.

Katanya, single tersebut hasil ciptaan Danny yang merupakan salah seorang ahli kumpulan Mojo.

"Insya-Allah, lagu Bayang masih berada di tangga pertama carta Muzik-Muzik dan saya bakal keluar dengan single kedua pula berjudul Dari Jauh Sahaja," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post