Elly Mazlein kini terbuka untuk bercinta


Elly Mazlein gembira dapat merealisasikan majlis akikah dan cukur jambul, Putri Zara Sefhia, 11, di kediamannya, di Cyberjaya.

Sejak akhir tahun lepas, kisahnya marak dibakar sensasi dek perang yang bagaikan tiada berkesudahan dengan bekas suami, Azmi Mohd. Hatta. Hujung minggu lalu pula nama Elly Mazlein kembali panas dengan sebuah cerita baharu.

Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, namanya tiba-tiba ‘dipetik’ sebagai sedang menjalin cinta dengan seorang jejaka yang tidak pula dinyatakan sebarang identiti.

Menemui bekas peserta Gegar Vaganva musim ketiga itu pada majlis akikah dan cukur jambul puteri tunggalnya, Putri Zara Sefhia, 11 bulan, di kediamannya semalam, Elly mulanya enggan memberikan sebarang komen terhadap isu tersebut.

Bagaimanapun, pemilik nama asal Sharifah Aida Mazlina Syed Hanapi, 37, itu menjelaskan, sebagai wanita dan manusia biasa, hatinya kini terbuka untuk kembali bercinta. Dia juga tidak serik untuk berkahwin lagi walaupun pernah melalui episod hitam keruntuhan rumah tangga pada 2015.

Tidak perlu terdesak atau terburu-buru, Elly menyerahkan soal jodoh sebagai ketentuan Allah. Buat masa ini dia cukup bahagia dengan kehidupan sebagai ibu tunggal di samping anak dan bapanya.

Selain itu, Elly juga bakal muncul dengan sebuah single dan drama terbaharu serta produk kecantikan jenamanya sendiri.

Kosmo!: Sudah berapa lama Elly Mazlein merancang untuk mengadakan majlis akikah dan cukur jambul anak?

Elly Mazlein: Ikutkan rancangannya sudah lama tetapi baru sekarang ada rezeki dan masa untuk saya buat majlis untuk Sefhia. Sekurang-kurangnya adalah kenangan apabila dia besar nanti. Persediaannya tidak lama, syukurlah ramai yang membantu, selain mendapat tajaan seperti pelamin daripada Damalee Wedding.

Adakah anda tidak mengundang bekas suami ke majlis ini?

Sebenarnya majlis ini dirancang oleh bapanya (Hatta) tetapi sehingga Sefhia berusia 11 bulan, tiada sebarang perkembangan, jadi saya kena buat sendiri.

Soal undang bekas suami, dia sepatutnya tahu kerana awal-awal lagi saya telah muat naik tentang majlis ini menerusi Instagram.

Namun, tiada sebarang respons daripadanya. Walaupun kami telah bercerai, Sefhia masih anak kandungnya. Saya tiada masalah jika dia hadir kerana faktanya dia adalah bapa kepada Sefhia.

Bagaimana pula hubungan anda dengan bekas suami?

Dia ada datang ke rumah untuk bertemu Sefhia tetapi sekali sahaja sebelum senyap sampai sekarang. Namun, dia ada memberi nafkah kepada anak. Selepas hak anak diberi, saya tiada ada masalah dengannya. Itu sahaja yang saya mahukan daripada seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap anaknya.

Menurut ruangan gosip baru-baru ini, anda dikatakan sedang hangat bercinta, boleh jelaskan?

Saya tidak mahu komen mengenai isu tersebut, namun sebagai wanita dan manusia biasa, saya pun ada hati dan perasaan. Andai ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, saya tidak menolak. Cuma buat masa sekarang fokus saya hanyalah untuk kerjaya seni dan membesarkan anak sebaik mungkin.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?

Tidak lama lagi saya akan merakam single baharu terbitan KRU. Saya menerima sahaja lagu mereka kerana yakin dengan kualiti kerja KRU, cuma saya letakkan syarat perlu ada identiti saya dalam lagu berkenaan. Saya juga akan muncul dengan drama rantaian slot Samarinda. Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan dengan pihak produksi.

Khabarnya anda juga bakal bergelar seorang usahawan produk kecantikan, benarkah?

Memang benar, sekarang saya dalam proses untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri. Sebagai permulaan, saya akan mengeluarkan sabun kecantikan yang dinamakan Lina Poms Poms Soap. Ia akan dijual pada harga RM24.90 seunit dan berada di pasaran serentak seluruh Malaysia bermula 17 Februari nanti.

Bagaimana idea menghasilkan produk kecantikan boleh tercetus?

Ini merupakan impian saya sejak lama. Sebelum jadi artis, saya pernah hidup susah. Naluri wanita ingin kelihatan cantik tetapi tidak mampu beli produk yang mahal. Sebab itu apabila keluarkan produk sendiri, saya letak harga mampu milik supaya semua orang boleh membeli.

Alhamdulilah tanpa sebarang promosi, saya sudah ada 40 stokis di seluruh negara. Doakan yang terbaik buat saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post