Usah bandingkan Kayda, Sheila


Saat Datuk Sheila Majid dan anak perempuannya, Kayda beraksi di atas pentas menerusi lagu Sinaran yang diberi nafas baharu pada majlis pelancaran Anlene Move As Young As You Feel baru-baru ini, ramai yang memuji keserasian mereka.

Vokal Sheila masih sama seperti dahulu meskipun sudah berusia 51 tahun dan paduan rap daripada anaknya, Kayda atau nama sebenarnya, Wan Nur Khaleda, 25, telah memukau mata banyak pihak. Begitupun, apa yang istimewa, ia merupakan kolaborasi pertama ibu dan anak itu dalam sebuah lagu.

Menurut Kayda, sebelum ini dia pernah menyumbangkan suara ketika berusia 15 tahun dalam lagu Kisah Rumah Tangga nyanyian ibunya. Kolaborasi berkenaan bagaimanapun tidak serius seperti lagu Sinaran yang diberi nafas baharu itu.

“Lagu Sinaran versi baharu boleh dikatakan kerjasama pertama antara saya dan ibu.Kolaborasi berkenaan saya sifatkan sebagai satu kerjasama profesional antara penyanyi baharu dan lama,” ujar Kayda yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Psikologi daripada Universiti Help, Kuala Lumpur.

Sebagai anak kepada penyanyi tersohor, Sheila Majid, Kayda sering dibandingkan dengan ibunya, terutamanya dalam bidang muzik. Walhal muzik mereka berdua jauh berbeza. Sheila membawakan muzik pop jazz, manakala Kayda pula lebih selesa bergelar seorang penyanyi rap.

“Apa pun, saya berbangga dapat bekerjasama dengan penyanyi yang memiliki nama besar seperti ibu. Perbandingan itu tidak dapat dielakkan sejak saya mula menyanyi,” kata Kayda.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan karier seni, Kayda bakal melancarkan single terbaharu berjudul Radio 3000. Wanita berkulit sawo matang itu berpuas hati biarpun karier seni bergerak agak perlahan disebabkan semuanya berjalan atas usaha sendiri.

Menariknya, selain menyanyi, Kayda juga merupakan seorang guru tadika. Katanya, dia bertugas sebagai guru tadika pada sebelah pagi dan meneruskan kerjaya seni sebelah petang.

Disoal mengapakah memilih bidang pendidikan berbanding menjadi penyanyi sepenuh masa, tegas anak sulung daripada empat beradik itu, minat mendalam mendorongnya menjadi seorang guru, selain demi kelangsungan hidup di Kuala Lumpur.

“Saya seorang yang berdikari dan tidak mahu bergantung pada ibu bapa. Realitinya, kerjaya nyanyian tidak memberi pulangan tetap setiap bulan. Oleh itu, saya perlu melakukan dua pekerjaan bagi menampung kehidupan. Ia bukan satu masalah kerana meminati kedua-dua bidang.

“Sebenarnya, ramai yang terkejut apabila saya menjadi guru tadika. Selama ini saya hanya ingin menjadi penyanyi tetapi minat untuk mengajar itu timbul pada tahun akhir di universiti apabila terlibat dalam misi bantuan pelarian. Alhamdulillah, saya mampu menguruskan dua kerja dalam satu masa,” cerita Kayda.

Bercakap tentang masa depan, selain mahu mengembangkan lagi kerjaya nyanyian ke peringkat lebih tinggi, Kayda merancang memiliki tadika sendiri suatu hari nanti. Justeru, pada usia yang masih muda dia perlu mengutip pengalaman sebelum memulakan langkah dalam bidang perniagaan.


“Memiliki tadika sendiri merupakan cita-cita terbesar saya selain bidang nyanyian. Buat masa sekarang, saya harus mengumpul pengalaman dan modal sebelum membuka tadika sendiri,” tutur Kayda yang telah bergelar seorang guru tadika selama setahun setengah.

Klasifikasi artis

Sheila pada yang berada di sebelah anaknya menyambung bicara tentang perbandingan antara Kayda dan dirinya. Baginya, tidak adil untuk orang membuat perbandingan kerana anaknya baru sahaja mula bertapak dan mencari ruang untuk berkarya sementelah beliau sudah berpengalaman di pentas nyanyian selama 30 tahun.

Tegasnya, perbandingan itu boleh membuatkan penyanyi baharu seperti Kayda merasa terbeban, apatah lagi dibandingkan dengan ibunya sendiri yang mempunyai profil besar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga luar negara, terutamanya Indonesia.

“Tidak boleh bandingkan penyanyi lama dan baharu, ia akan membuatkan mereka terbeban. Sepatutnya penyanyi baharu diberi ruang. Saya juga belajar daripada kesilapan sendiri untuk menjadi Sheila Majid seperti hari ini.

“Bezanya, saya bertuah kerana dulu tiada internet dan laman sosial. Jika tidak popular pihak media tidak akan menulis tentang seseorang artis. Oleh itu, saya bebas melakukan kesilapan dan berita tersebut tidak keluar di mana-mana akhbar atau majalah,” tutur Sheila.

Dalam pada itu, Sheila turut meluahkan pendapatnya tentang kebanjiran artis pada masa kini. Katanya, terlalu ramai orang yang ingin menjadi artis tanpa memahami erti seni.

Bukan itu sahaja, artis masa kini terlalu mudah untuk muncul di media massa termasuk akhbar dan majalah biarpun belum memiliki sebarang pencapaian.

“Dulu hendak masuk majalah sangat sukar. Mereka harus ada pencapaian tertentu yang melayakkan seseorang artis diangkat pada muka depan majalah atau akhbar. Saya masih ingat ketika kali pertama dapat masuk majalah, seronoknya tidak terkata.

“Sekarang siapa-siapa pun boleh bergelar artis. Namun, pentakrifan orang popular dengan artis itu sangat berbeza. Artis memiliki jiwa seni, manakala orang popular hanya sukakan tumpuan tanpa melakukan sebarang kerja seni,” ujarnya.


ANLENE Dari kiri: Kayda, Sheila dan Pengarah Urusan Forterra Brands Malaysia, Jose Miguel Porraz Lando bergambar pada majlis kempen terbaharu Anlene.

Justeru, isteri kepada pengarah muzik Acis itu, jarang muncul di media massa. Bukan tidak sukakan publisiti tetapi penyanyi lagu Lagenda itu memilih untuk tidak muncul di media massa andai tiada produk atau perkembangan terbaharu mengenai kerjaya seni yang ingin dibicarakan.

“Saya memang jarang muncul di majalah atau akhbar jika tiada produk atau projek yang ingin dipromosikan. Tidak perlu publisiti tanpa sebarang tujuan. Saya bukan jenis artis yang suka bercakap kosong atau muncul di media massa semata-mata mahu menunjukkan beg atau pakaian dimiliki.

“Dunia hiburan keseluruhannya adalah bidang yang gelap, jadi perlu berhati-hati. Tanyakan kepada diri apakah niat sebenar ketika mahu terjun ke bidang ini. Apa yang boleh saya katakan, selepas 30 tahun menjadi penyanyi, dunia seni bukanlah bidang glamor,” luah Sheila penuh serius.

Album baharu

Beralih bicara tentang perkembangan terbaharunya, mata wanita berkulit putih itu terus bercahaya. Katanya dengan penuh gembira, tahun depan beliau bakal muncul dengan album terbaharu. Kali terakhir beliau melahirkan album adalah pada tahun 2004 menerusi album Cinta Kita.

Album yang melalui proses pembikinan selama tiga tahun itu dijangka akan berada di pasaran sekitar awal tahun depan. Menurut Sheila, album yang menggabungkan komposer ternama dari Malaysia dan Indonesia itu bakal memuatkan 10 buah lagu.

“Hujung bulan ini proses rakaman vokal untuk album terbaharu akan selesai. Saya mengambil masa selama tiga tahun kerana mahu melahirkan sebuah album terbaik. Proses paling sukar dan mengambil masa adalah mencari lagu sesuai.

“Selepas itu prosesnya akan menjadi lebih mudah dan cepat. Sebenarnya saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran masa untuk keluarkan album. Jika semuanya sudah lengkap dan saya berpuas hati barulah akan dipasarkan,” terang Sheila.

Antara komposer yang menyumbangkan lagu dalam album terbaharunya ialah Omar K, Pacai, Kevin Chin serta Tohpati yang ditemui ketika mengadakan konsert di Jakarta, Indonesia pada April lalu.

“Pada mulanya, ia bergerak dengan perlahan dan pasrah apabila tidak menjumpai lagu sesuai sehinggalah bertemu Tohpati. Selepas itu ramai komposer memberikan lagu yang bagus.

“Walaupun mengambil masa selama tiga tahun, saya yakin peminat akan tetap memberi sokongan. Mereka memahami bahawa produk yang baik mengambil masa lama.

“Selepas yakin semuanya siap, barulah saya mengumumkan kepada pihak media. Harap semua pihak akan terus memberikan sokongan,” tutur Sheila menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post