
PENANTIAN empat tahun pelakon lelaki yang semakin popular, Fattah Amin untuk mendapatkan pengiktirafan berakhir membawa pulang trofi Personaliti Drama Melodi pada Anugerah Melodi 2016 yang berlangsung Sabtu lepas.
Pelakon yang pernah popular menerusi drama Playboy Itu Suami Aku menganggap kejayaan itu bukanlah seratus peratus datang daripada usahanya, tetapi individu yang sentiasa berada di sekelilingnya untuk melihatnya berjaya di persada seni.
“Syukur ke hadrat Illahi kerana ini kali pertama saya memenangi trofi dalam sesebuah anugerah sepanjang karier.
“Ribuan terima kasih kepada team management kerana menyusun atur karier saya dari tahun 2013 sehingga sekarang.
“Of course, tidak lupa juga kepada peminat and supporters especially FA Team. Thank you so much to all for supporting me dan datang ke event saya walaupun tempat tinggal jauh,” katanya.
Bagi jejaka tinggi lampai itu, empat tahun bukanlah tempoh yang cukup bagi seseorang pelakon itu menganggap diri mereka sudah hebat dan bagus berlakon.
Mengambil contoh Datuk Rosyam Nor sebagai rujukan, Fattah menjelaskan, Rosyam mendapat gelaran pelakon hebat dengan bertatih secara perlahan-lahan sehingga menggapai title tersebut.
“Datuk Rosyam mengambil masa yang lama untuk sampai tahap ini. Jadi, tidak boleh untuk dikatakan saya ini hebat walaupun ramai orang cakap saya sudah popular.
“Proses pembelajaran harus diteruskan. Jadi, saya perlu cuba pelbagai watak untuk mengukuhkan lagi karier saya,” kata pelakon Gerak Khas tersebut.
Impak Polis Evo-Zizan Razak
Sementara itu, pelakon, pelawak, penyanyi dan juga pengacara, Zizan Razak menganggap kemenangannya pada malam tersebut adalah kerana filem Polis Evo.
Jelasnya filem tersebut telah mengeluarkan Zizan Rizak dari dirinya, semata-mata untuk menjiwai watak Inspektor Sani.
“Ia adalah satu kepuasan berlakon di dalam Polis Evo yang menuntut saya untuk mengubah fizikal dan mental.
“Polis Evo adalah filem terbaik yang pernah saya lakonkan. Tetapi, mungkin masyarakat di luar sana mempunyai persepsi tersendiri dan itu terpulang,” katanya.
Ditanya adakah akan lebih selektif dengan watak yang akan dilakonkan, pelakon Abang Long Fadil itu menjelaskan dia sentiasa selektif memilih watak untuk meningkatkan kredibilitnya.
Katanya, dia kini selalu ke gimnasium untuk mensasakan dirinya untuk filem Polis Evo 2.
“Saya diberi masa beberapa bulan oleh pihak produksi filem tersebut untuk mensadokan diri. Saya dah masuk gym 2 minggu ni tetapi badan saya tak sado lagi.
“Saya ada juga minum protein untuk beberapa hari tapi lepas tu, badan saya tak boleh terima. Kita tengok apa yang berlaku dan saya tengah berusaha ketika ini,” katanya.