
“CANTIK dres hijau ini. Baju untuk fotografi kali ini pun memang sudah beri mood ala-ala sambutan Krismas,” seloroh penyanyi dan pelakon cantik, Marsha Milan Londoh ketika mengenakan busana tajaan Shoes Shoes Shoes ketika ditemui sewaktu menjayakan sesi fotografi muka depan Sensasi Bintang di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tatkala artikel ini disiapkan, Marsha barangkali sudah berada di kampung halamannya di Tamparuli, Sabah untuk berkumpul bersama ahli keluarga yang lain sempena cuti perayaan Hari Natal.
Biarpun sudah berbeza agama selepas memeluk Islam kira-kira setahun lalu, hubungan pertalian darah keluarga yang terbina kekal erat. Justeru, bagi Marsha, sebagai seorang anak dia akan tetap pulang ke kampung untuk berkumpul dengan ahli keluarga lain bagi mengeratkan hubungan.
“Dapat balik ke kampung sekejap sahaja dalam dua hari. Tak dapat cuti lama-lama sangat sebab terikat dengan komitmen kerja. Kalau ikutkan, saya tidak boleh dapat cuti sebab tengah sibuk menjalani latihan untuk pementasan teater Dia Semanis Honey Muzikal yang bakal dipentaskan tidak lama lagi,” kongsi penyanyi yang baru menginjak usia 31 tahun pada 6 Disember lepas.
Semestinya tiada apa yang menggembirakan seorang anak selain berjumpa dengan ibu bapa tersayang pada hari perayaan.
Bukan tidak mahu berbicara lebih mengenai Krismas, cuma ada banyak hati yang perlu dijaga. Marsha mahu perkara yang boleh mengundang sensitiviti agama dan masyarakat dielakkan.
Suami, anak

BIARPUN sibuk berlakon, Marsha tetap memberi keutamaan kepada suami.
Selebihnya, fokus bicara pada pertemuan hari itu lebih berkisar pada perjalanan hidupnya sebagai isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Ismail, 35, dan kisah perjalanan kariernya.
Sememangnya kedatangan Disember membawa banyak erti kepada pelakon filem Jwanita itu. Selain menyambut ulang tahun kelahiran, Marsha juga bakal menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya pada 31 Disember ini.
“Hari itu pula nanti saya ada persembahan. Nampak gayanya tak boleh nak meraikannya. Bagaimanapun, tempoh hari, suami sudah bawa saya dan ahli keluarga lain ke Perth, Australia untuk sambut ulang tahun kelahiran. Itu kiranya sambut sekali sahajalah dengan ulang tahun perkahwinan,” seloroh bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu.
Hampir setahun mendirikan rumah tangga, menurut Marsha, apa jua yang mahu dilakukannya, suami adalah individu yang menjadi keutamaannya dalam membuat sebarang keputusan.
“Jika dahulu, kita boleh suka-suka sahaja buat keputusan, sekarang tidak boleh begitu. Ada beberapa aspek yang perlu dilihat.
“Sebagai isteri, sudah pasti ada batas-batas yang perlu saya jaga. Saya kena fikirkan suami sebelum mahu buat apa-apa keputusan. Selalunya memang saya akan rujuk dengan dia terlebih dulu,” katanya yang bersyukur dikurniakan seorang suami yang sentiasa memberi sokongan dengan apa yang dilakukannya.
Menurut Marsha, walaupun sibuk dengan jadual seni, dia tidak berdepan masalah untuk menguruskan suaminya. Tambahan pula kata Marsha, suaminya seorang yang ringan tulang, perkara itu secara tidak langsung memudahkan kerjanya.
“Dia rajin juga mengemas. Selalunya orang perempuan yang buat kerja begitu. Cuma, setiap pagi saya akan sediakan baju kerja untuknya.
“Satu perkara mengenai suami saya, dia suka melipat lengan bajunya dan seorang yang sangat teliti mengenainya. Tak semua orang boleh buat seperti apa yang dimahukannya termasuk pembantu rumah,” kongsi Marsha yang memberitahu, suaminya seorang pemalu.
Mengimpikan kehadiran ‘ahli’ baharu dalam keluarga, kata Marsha, dia menyerahkan perkara itu kepada yang Maha Esa. Ini kerana, sejak dari awal lagi, dia sudah lama mengimpikan momen untuk bergelar ibu.
“Buat masa ini, saya memang tidak ada rancang kehamilan. Cuma, belum ada rezeki lagi.
“Sekarang pun, kalau saya terima tawaran kerja, memang akan beritahu pihak berkenaan bahawa semuanya tertakluk kepada pindaan sekiranya saya tiba-tiba sudah berbadan dua.
“Maklumlah, kalau sudah mengandung kemudian bimbang keadaan diri yang memungkinkan ada tawaran yang terpaksa ditolak. Jadi kita memang maklumkan awal-awal tertakluk kepada sebarang perubahan,” kongsinya.
Teater sulung

MARSHA begitu teruja untuk berlakon dalam bidang teater kerana ia mempunyai kelainan berbanding drama dan filem.
Bakal beraksi menerusi Dia Semanis Honey Muzikal yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 3 Januari depan, kata Marsha, ia merupakan naskhah sulung buatnya dalam seni teater. Semestinya, kata Marsha, dia cukup teruja untuk berlakon di sebuah pentas berprestij bertaraf dunia yang diidam-idam selama ini.
“Teruja sebab ini merupakan teater muzikal pertama saya. Walaupun saya belum pernah berlakon teater, apa yang saya libatkan ini masih lagi dalam landasan seni yang saya suka.
“Orang kata, jadi pelakon sekurang-kurangnya kena dapat merasa sekali seumur hidup berlakon di Istana Budaya.
“Maklumlah ia merupakan satu platform yang besar. Cuma, apabila fikir balik, bimbang juga tak dapat berikan apa yang diinginkan,” ceritanya yang memberitahu teater itu diarahkan oleh Dira Abu Zahar.
Menurutnya, bukan tidak pernah menerima tawaran berlakon teater sebelum ini, cuma ketika itu, dia merasakan belum bersedia lagi kerana bimbang tidak dapat memenuhi standard yang dimahukan pihak produksi.
“Salah satu sebab saya terima teater ini adalah kerana Michael Ang. Kalau Michael tak paksa saya mungkin saya tidak berlakon teater lagi. Lagipun, saya juga banyak berlakon di bawah Michael. Ini kira projek tolong kawan- kawan jugalah. Tambahan pula pengurus saya, Azlan pun suruh saya berlakon teater. Jadi, saya fikir mungkin inilah waktunya untuk saya bina keyakinan ke pentas teater pula,” katanya.
Bercakap mengenai teater itu, kata Marsha dia memegang watak sebagai Ariana yang pernah dilakonkan aktres Falisha Crossley dalam versi drama bersirinya sebelum ini.
“Sewaktu dalam drama, watak itu sepatutnya saya juga, tetapi banyak sangat tarikh yang bertembung dengan projek lain, jadi akhirnya saya dapat realisasikan semula watak itu di pentas teater pula.
“Watak Ariana ini merupakan seorang wanita yang menghidap kanser ovari tahap empat. Di sinilah nanti saya digambarkan sebagai orang yang menjadi penghalang kepada cinta Ahnaf dan Honey lakonan Alif Satar dan Siti Nordiana,” ceritanya.
Kata Marsha dalam teater itu nanti selain berlakon, pada masa sama dia juga akan menyanyi dan menari memandangkan ia sebuah naskhah teater muzikal.
“Kalau nak dibandingkan lakonan dan nyanyian, saya lebih suka ekspresikan diri dengan nyanyian. Cuma apabila ia digabungkan, perkara itu buat saya jadi lebih seronok kerana impaknya lebih besar.
“Saya pun sudah lama tidak berlakon kerana tumpu pada nyanyian sahaja tahun ini.
“Jadi, permulaan tahun depan, saya akan kembali sibuk berlakon dan mengacarakan program travelog di Sabah,” katanya yang bakal muncul dengan single baharu berjudul Hilang nukilan komposer Omar K.