Lara Alana diminati kanak-kanak


TAWARAN - Awal dan Scha akan berhati-hati dalam pemilihan tawaran kepada Lara agar tidak membebankan anak kesayangan mereka.

LARA ALANA merupakan kanak-kanak biasa yang berusia dua tahun tiga bulan. Namun, apa yang luar biasa mengenai anak pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari ini, dia memiliki jumlah pengikut sebanyak 2.4 juta di akaun Instagramnya.

Pada usia yang masih mentah, kanak-kanak ini telah muncul dengan program realitinya sendiri iaitu Lara Oh Lara yang meningkatkan lagi popularitinya. Bukan sahaja diminati golongan dewasa tetapi meraih perhatian kanak-kanak.

Buktinya, ketika Lara membuat kemunculan khas pada karnival Didi & Friends di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya baru-baru ini, sambutan peminat, terutamanya kanak-kanak cukup luar biasa bagaikan selebriti antarabangsa. Peminat cilik ini bukan sahaja menjerit namanya, malah diserbu mereka yang ingin bergambar dan melihat lebih dekat pemilik nama Lara.

Dia pula ibarat artis profesional yang menjalankan tugasnya, tidak kekok memberikan lambaian dan melemparkan senyuman kepada peminat sepanjang acara berlangsung. Perkara itu turut diakui sendiri oleh bapanya, Awal Ashaari.

“Lara sudah boleh menerima perhatian orang ramai terhadapnya. Jika dahulu dia suka buat hal sendiri, tidak bergaul dan tidak bersalaman jika bertemu orang ramai, sekarang sudah tidak kekok. Dia automatik tahu apa hendak dilakukan apabila bertemu orang ramai, jika tidak mahu bersalaman dia akan beri lambaian,” kata Awal.

Bagaimanapun jelas Awal, anaknya bersikap lebih terbuka disebabkan kebebasan yang diberi kepadanya. Berbanding sebelum ini, sebagai ibu bapa baharu, Scha dan Awal mengambil langkah berhati-hati dengan tidak membenarkan sebarangan orang mendekati anak mereka.

Namun, tindakannya itu memberi kesan yang buruk kerana menyebabkan Lara lebih suka menyendiri dan tidak mahu bergaul.

“Dulu kami sangka semakin kurang orang mendekati Lara, dia akan lebih sihat dan bebas daripada kuman. Tidak sangka pula tindakan itu memudaratkannya daripada segi psikologi dan kemahiran sosial. Selepas dinasihatkan doktor, kami mengambil keputusan untuk beri kebebasan kepadanya.

“Main pasir atau apa sahaja asalkan tidak mendatangkan bahaya, kami benarkan dengan syarat terus mandi selepas balik rumah. Alhamdulillah, kami lihat banyak kemajuan dan dia semakin bijak membawa diri,” terang Awal lagi.

Oleh kerana Lara sudah semakin besar, kata Awal sambil berseloroh, sudah sampai masanya untuk dia dan Scha menambah bilangan ahli keluarga. Merancang untuk menambah cahaya mata pada tahun depan, Awal bagaimanapun menyerahkannya kepada rezeki.

“Insya-Allah jika ada rezeki kami inginkan anak tahun depan. Namun, kita hanya merancang, tetapi semuanya terpulang kepada rezeki. Lara pun sudah besar, dia sudah faham dan boleh menerima andai ada adik baharu,” katanya sambil tersenyum.

Impak Lara Oh Lara

Melihat kepada sambutan luar biasa peminat cilik terhadap Lara, turut mengejutkan Awal kerana tidak menyangka anaknya mampu memperoleh begitu ramai peminat gara-gara program realiti Lara Oh Lara yang ditayangkan tidak lama dahulu.

Dedahnya, program itu memberikan impak yang positif bukan sahaja kepada Lara tetapi mereka sekeluarga apabila dihujani pelbagai tawaran sebaik program realiti tersebut tamat.

“Impak program itu memang sangat besar terhadap kami sekeluarga kerana sebaik ia tamat, kami menerima banyak tawaran menjadi duta produk, kempen serta iklan untuk pelbagai jenama terkenal.

“Sungguhpun begitu, kami tidak mengambil semua tawaran tetapi memilih mana yang sesuai dengan karakter dan usia Lara. Jika ada yang tidak sesuai kami tolak dengan cara baik,” tutur Awal.

Disebabkan popularitinya naik mendadak, akui Awal, jadual anaknya itu bertambah padat. Selain ke sekolah setiap hari, Lara akan menghadiri pelbagai acara, penggambaran serta sesi fotografi yang telah disusun untuknya.

Biarpun begitu, tegas Awal, dia dan isteri tidak pernah memaksa atau membuat anaknya letih dengan jadual harian.

“Kebanyakan pelanggan yang mengambil Lara sebagai duta atau menjemputnya ke acara tertentu memahami syarat diberikan kepada mereka. Syaratnya, Lara hanya boleh melakukan penggambaran iklan, kempen atau menghadiri acara pada pukul 3 petang ke atas.

“Ini kerana Lara hanya akan pulang dari sekolah pada pukul 12 tengah hari. Kemudian, kami akan berikan masa untuk berehat dan tidur. Jika acara bermula pukul 3 petang, sekitar pukul 2.15 petang dia akan bangun untuk bersiap.

“Jadualnya tidak boleh lebih dari pukul 8 malam.Sebagai contoh, karnival Didi & Friends ini, kebetulan Lara merupakan seorang peminat tegar, jadi tidak salah untuk memenuhi undangan ini,” kata Awal sambil memberitahu, anaknya tidak pernah ponteng sekolah walaupun jadual padat.

Sambung Awal, biarpun Lara kini sudah terbiasa dengan limpahan lampu glamor, dia tetap seorang kanak-kanak normal. Ada masanya Lara juga meragam jika kehendaknya tidak dituruti oleh ibu bapa.

Justeru, sebagai bapa, Awal bertindak mengikut tindak balas yang diberikan Lara. Andai, dia mula meragam dalam sesebuah acara, durasi penglibatannya akan dipendekkan.

“Lara masih kanak-kanak, dia bukan orang dewasa yang boleh memahami persekitaran di sekeliling. Sebaliknya, jika dia beri komitmen dan kerjasama yang baik, kami akan mengikut jadual seperti biasa,” ujar Awal.

Tawaran musim kedua

Sambutan luar biasa yang diterima daripada penonton selepas tayangan program realiti Lara Oh Lara menyebabkan mereka sekeluarga ditawarkan menyambung program berkenaan untuk musim kedua.

Bagaimanapun disebabkan jarak waktu yang terlalu dekat, Awal dan Scha merasakan masanya belum sesuai untuk mereka tampil dengan musim kedua. Bagi mereka biarlah Lara boleh bertutur dengan fasih terlebih dahulu.

“Soal musim kedua program berkenaan harus ditanyakan kepada pihak Astro. Memang benar pihak Astro ada hubungi kami dan mereka berminat untuk menyambung bagi musim kedua. Namun, kami berdua merasakan terlalu cepat kerana idea terbaik telah diberikan pada musim pertama.

“Rasanya tunggu sehingga dia boleh bercakap, program itu akan bertambah menarik kerana boleh bersoal jawab dengannya,” kata Awal.

Beralih bicara tentang perkembangan terbaharunya, Awal mendedahkan pada tahun depan dia dan isterinya bakal melancarkan pakaian di bawah jenama mereka sendiri. Selain itu, Awal juga merancang untuk kembali aktif dalam dunia lakonan serta pengacaraan seperti dahulu.

Menurutnya, dia telah berehat terlalu lama sejak kelahiran Lara. Kini, dia menyifatkan adalah masa yang sesuai untuknya kembali aktif memandangkan Lara sudah semakin besar.

Sebelum itu, terang Awal, dia harus membuat persediaan seperti mengurangkan berat badan sebelum muncul sebagai pelakon di kaca televisyen.

“Tahun depan selain melancarkan perniagaan baharu, saya mahu kembali aktif berlakon. Sekarang, saya dalam proses mengurangkan berat badan. Alhamdulillah, dalam masa sebulan dapat turun tiga kilogram dan saya menyasarkan untuk turun lagi enam kilogram.

“Bukan mahu bina badan berketak-ketak tetapi biarlah dapat kembali badan dahulu yang bersaiz S atau M. Sekarang pakaian saya semua bersaiz L atau XL. Saya perlu kurus untuk kerja dan pada masa sama menjaga kesihatan,” terang Awal menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post