
TOMOk mengharapkan lebih ramai anak muda tampil menonjolkan bakat untuk mengejar cita-cita bergelar penyanyi.
Usai sesi uji bakat yang telah diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 10 dan 11 Disember yang lepas, Mentor Milenia 2017 meneruskan misi pencarian protege di Sri Pentas, Bandar Utama pada hujung minggu lalu yang dimulai dengan mentor Tomok.
Untuk edisi 2017, Tomok mengambil alih tempat Azlan bagi melengkapkan empat kerusi mentor bergandingan dengan Black, Hazama, Akim. Walaupun baru pertama kali menjadi mentor, uji bakat Tomok mendapat sambutan hangat apabila dihadiri lebih 200 orang peserta yang telah berlangsung pada 17 dan 18 Disember lalu.
Akui Tomok, dia amat terkejut dengan sambutan yang sangat menggalakkan pada hari pertama sesi uji bakat tersebut.
“Saya telah berada di Sri Pentas sejak pagi dan ramai yang telah beratur untuk mendaftarkan diri bagi menyertai sesi uji bakat hari ini. Sebenarnya berasa gementar kerana ini merupakan kali pertama saya dipilih untuk menjadi mentor dan bersaing dengan rakan-rakan saya seperti Black, Hazama dan Akim yang hebat dalam bidang masing-masing.
“Oleh itu, saya perlu fokus untuk mencari protege yang mampu memberikan saingan kepada yang lain kerana bagi saya, Mentor Milenia adalah sebuah program realiti mengenai protege.
“Tugas saya sebagai mentor adalah untuk memberi tunjuk ajar dan mengasah bakat terpendam anak didik saya,” luahnya.

TIdak hanya peserta lelaki, sesi uji bakat protege Tomok turut dihadiri peserta wanita.
Mengulas mengisi misi uji bakat, Tomok menyifatkan mencari peserta yang bukan sahaja mampu menyampaikan lagu dengan bagus bahkan bakal anak didiknya perlu menitikberatkan emosi, penyampaian dan gaya persembahan yang dapat menjadi daya tarikan ketika di atas pentas.
“Saya tidak kisah jika seseorang itu tiada pengalaman dalam bidang nyanyian, apa yang penting jika dia seorang penyanyi yang bagus dan berani mencuba sesuatu yang baharu, saya akan memberi 100 peratus tunjuk ajar dan mengasah lagi bakat anak didik saya selaku mentor,” tambah Tomok lagi.
Tomok juga mengharapkan lagi anak-anak muda yang akan datang untuk memberi sokongan terhadap program Mentor Milenia untuk cuba menonjolkan bakat mereka yang terpendam.
Protege yang layak memasuki gelanggang Mentor Milenia seharusnya memiliki kriteria yang dicari iaitu berusia antara 17 – 21 tahun, warganegara Malaysia yang memiliki bakat menyanyi berserta vokal mantap dan mempunyai pakej lengkap.
Calon yang memikat tumpuan mentor pilihan akan menyertai program nyanyian tersebut secara solo, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan boleh memberikan sepenuh komitmen terhadap Mentor Milenia sepanjang atau selepas pertandingan.