
Kehadiran bayi baharu pelakon Nas-T bersama Atita yang diberi nama Nas Taliyah bakal menceriakan lagi rumah tangga pasangan ini.
Selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga, akhirnya pelakon Nas-T bergelar bapa apabila isterinya, Atita Haris, 24, selamat melahirkan anak sulung secara normal hasil perkongsian hidup mereka pada 12 Disember lalu di Klinik Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Taman Universiti, Skudai, Johor.
Lebih istimewa, bayi perempuan seberat 3.2 kilogram itu yang diberi nama Nas Taliyah dilahirkan pada hari sambutan Maulidur Rasul.
Menurut Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin, 33, fasa terbaharu dalam kehidupannya itu merupakan anugerah terindah yang pernah diterimanya.
Sambil berkongsi detik cemas apabila isterinya melahirkan anak 10 hari lebih awal dari tarikh jangkaan doktor, Nas-T memberitahu, dia akan berehat daripada kerjaya seni sehingga tahun depan bagi memberi tumpuan kepada anaknya.
Dia menambah, selepas ini kediamannya akan menjadi lebih meriah, malah tanggungjawab semakin besar kerana selain Nas Taliyah, Nas-T turut mempunyai seorang anak tiri, Nur Sofia Hazrulfadli, 4.
Kosmo!: Apakah perasaan Nas-T selepas kelahiran anak?
Nas-T: Sukar untuk meluahkan dengan kata-kata saat mendukung anak sendiri buat kali pertama. Semua perasaan bercampur baur, terharu dan gembira kerana akhirnya saya bergelar bapa.
Saat saya iqamatkan anak, mata kami bertentangan. Momen itu, saya dapat rasakan keserasian hubungan bapa dan anak. Dalam pada itu, saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat.
Apakah maksud di sebalik nama Nas Taliyah?
Sebenarnya nama anak dipilih oleh kami berdua dan ia mempunyai maksud yang baik iaitu hamba yang membaca al-Quran dan yang mengikuti.
Saya berharap dengan nama indah dipilih, Nas Taliyah akan menjadi anak yang baik dan solehah.
Boleh kongsikan pengalaman ketika proses kelahiran?
Sebenarnya anak kami dilahirkan 10 hari lebih awal dari tarikh jangkaan doktor, Jika mengikut doktor dia akan lahir pada 22 Disember ini.
Memang agak kelam-kabut, sebab ini pengalaman pertama saya. Namun, amat bernasib baik kerana isteri memilih untuk bersalin di kampung halamannya, Skudai, Johor. Keluarganya ada di sini untuk membantu saya melalui proses paling mencemaskan dalam hidup.
Semuanya dipermudahkan, isteri tidak mengambil masa lama untuk bersalin. Dia dimasukkan ke klinik berkenaan pada pukul 7 pagi dan sekitar pukul 12.08 tengah hari telah bersalin secara normal.

Nur Sofia melihat gelagat adik baharunya, Nas Taliyah.
Bagaimana dengan penerimaan anak tiri, Nur Sofia atau Opie terhadap kelahiran ini?
Alhamdulillah, dia faham telah menjadi kakak. Dia amat sayangkan adiknya dan kami tidak menghadapi sebarang masalah. Mungkin dia akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebagai kakak dan suasana baharu dalam keluarga, kerana selama ini dia merupakan anak tunggal.
Apa yang pasti, rumah kami akan menjadi lebih meriah dan riuh-rendah apabila didominasi perempuan (ketawa).
Bagaimana pula anda menyesuaikan diri dengan fasa baharu ini?
Rasanya tiada masalah kerana selepas berkahwin, saya menjadi bapa segera dengan kehadiran anak tiri.
Saya telah membiasakan diri, bezanya ketika berkahwin, terus mendapat anak yang sudah besar, jadi agak mudah. Cuma kali ini, pengalaman pertama menguruskan bayi kecil, banyak yang perlu dipelajari.
Berapa lamakah anda akan bercuti?
Buat masa sekarang saya bercuti dan tidak mengambil sebarang kerja kerana anak masih kecil. Mungkin selepas keadaan isteri dan anak stabil, barulah saya akan bekerja semula pada tahun depan.
Selain pekerjaan sebagai DJ dan pelakon, saya serta isteri juga sibuk dengan perniagaan sendiri.