
Reen Rahim, sepotong nama yang masih asing dalam kalangan peminat, namun tetap tekun mengayuh langkah sebagai anak seni penuh kesabaran.
Perjalanan seninya bergerak pada fasa yang perlahan dan mendatar meskipun mempunyai raut wajah cukup mempesona serta disokong dengan kualiti lakonan yang cukup baik.
Usai menjuarai program realiti Pilih Kasih musim ketiga pada 2013, Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim, 28, tidak memandang belakang, malah terus mewarnai persada seni tanah air dengan untaian drama di kaca televisyen mahupun di layar perak.
Entah di mana silap, namanya masih berada pada takuk yang sama walaupun sudah acap kali mencuri tumpuan khalayak dengan produk seni yang memberangsangkan.
Akuinya, dia tidak pernah mengejar populariti mahupun sengaja mencipta kontroversi demi mendapat tempat dalam kalangan peminat.
“Tidak mengapa jika orang kata saya tidak popular kerana itu bukan motif saya menceburkan diri dalam bidang lakonan. Saya percaya, kalau kita hadir dengan produk yang bagus, populariti akan datang kemudian,” ujarnya ketika ditemui pada acara Sepetang Bersama Reen Rahim & Asianic di Donutes Coffee, Cake & Bread, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Nyanyian
Diajak berbicara tentang perancangan tahun hadapan, wanita kelahiran Klang, Selangor itu berkata, sesuatu yang baharu sedang dirancang untuk merancakkan kerjaya seninya.
“Kata orang, saya tidak berapa popular kerana tiada kontroversi. Kalau seseorang artis perlukan kontroversi untuk menjadi popular, itu bukan suatu perkara yang sihat. Lebih-lebih lagi jika ia menjurus ke arah yang negatif,” tuturnya.
Tambahnya, untuk terus melangkah maju dalam bidang lakonan, kerjaya akan diuruskan syarikat pengurusan yang baharu.
“Saya mahu berubah angin dan dahagakan sesuatu yang berbeza daripada apa yang telah dilakukan sebelum ini. Jadi, saya berharap akan diberikan banyak peluang yang lebih luas dalam bidang lakonan,” katanya lagi.
Bukan sekadar berlakon, Reen juga menyatakan hasrat untuk terjun ke bidang nyanyian pada 2017. Katanya, dia akan hadir dengan sebuah single berirama rancak tidak lama lagi.
“Saya memang suka menyanyi dan memang sudah lama menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu. Kalau orang kutuk sekalipun, sekurang-kurangnya saya telah mencuba.
“Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Kalau orang tidak suka, tidak mengapa. Kalau orang suka, Alhamdulillah,” kongsinya.
Diasak persoalan sama ada dia sudah bersedia untuk menerima kecaman orang ramai apabila melibatkan diri dalam bidang nyanyian tanpa bakat atau persediaan yang konkrit, Reen mempunyai jawapannya tersendiri.
“Kalau selalu mendengar apa yang orang ingin kata, sampai bila-bila kita tidak akan maju. Kalau sudah diberikan peluang, kenapa tidak mencuba? Saya bukan penyanyi yang tahu segala benda tetapi saya boleh belajar,” ujarnya yang kini mengikuti kelas vokal untuk memantapkan mutu nyanyiannya.
Cinta
Disogok pertanyaan mengenai cinta, Reen hanya mampu tersenyum, namun tetap menjawab pertanyaan secara profesional. Menariknya, usai sesi temu bual, lelaki yang dikaitkan dengannya, Mustaqim Bahadon turut hadir memberikan sokongan kepadanya.
Dikatakan bercinta dengan pelakon tersebut, Reen menafikan andaian itu tetapi pada masa sama mengakui sangat rapat dengan Mustaqim. Justeru, apabila ‘kantoi’ membahasakan Mustaqim dengan panggilan ‘baby’ di hadapan pihak media, Reen tidak gelabah.
“Kalau saya rapat dengan seseorang, mulut saya ini memang ringan. Saya suka memanggil seseorang dengan gelaran ‘baby’. Dengan Mustaqim, kami memang sangat rapat kerana kami pernah berlakon sama dalam drama Hidayah Ramadan dua tahun lalu.
“Tiada istilah bercinta kerana kami memang kawan rapat. Saya boleh panggil orang yang saya rapat dengan gelaran ‘baby’ kerana itu adalah cara saya,” balasnya.
Jika ditakdirkan menamatkan zaman bujang dengan pelakon tersebut, Reen bagaimanapun tidak akan menolak hukum jodoh memandangkan usianya akan menginjak 30 tahun dalam tempoh dua tahun lagi.
“Saya sudah semakin tua dan malas ingin fikir pasal cinta. Kalau orang yang baik dan boleh diharapkan sudah ada di depan mata, saya terima sahaja,” ujarnya menggulung bicara.