Kemunculan semula Ilyka


Ilyka kembali merancakkan lapangan muzik tanah air dengan kelahiran dua single terbaharu.

Penyayi bersuara lantang yang pernah popular dengan lagu berjudul Di Usung Duka pada awal tahun 90-an, Datin Ilyka kembali merancakkan industri muzik tanah air dengan kemunculan dua buah single baharu berjudul Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku. Kedua-dua lagu terbaharu itu ditulis sepenuhnya oleh komposer handalan kelahiran Indonesia, Tengku Shafick.

Bertemu dengan pemilik nama sebenar, Zuraila Mohd. Yassin pada acara pra dengar single terbaharunya bersama media di The Troika, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dia yang kali terakhir hadir dengan single berjudul Sistematik sekitar tahun 2010, berkongsi perihal semangat baharu untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Tidak terus tenggelam dalam bidang nyanyian walaupun kerjaya seninya kurang mendapat hebahan media, Ilyka, 43, tetap aktif sebagai penyanyi.

Bagaimanapun, penglibatan dalam bidang nyanyian lebih tertumpu kepada acara-acara korporat selain memberi fokus kepada keluarga serta suami tersayang, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Bekerjasama dengan Cloudworks Record, Ilyka tidak berniat untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi sedia ada. Katanya, kemunculan semula dalam cabang nyanyian disebabkan rasa cinta yang tidak pernah padam dalam bidang muzik.

Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit mengenai dua single terbaharu anda?

Ilyka: Sebenarnya, saya telah meminta lagu daripada Hazami tetapi tidak dapat direalisasikan kerana dia jatuh sakit pada waktu itu. Kebetulan, saya mendapat lagu komposer Indonesia iaitu Tengku Shafick.

Jadi, saya sempat merakamkan dua buah lagu dalam masa sehari di Jakarta, Indonesia. Kali pertama mendengar melodi kedua-dua lagu berkenaan, saya sudah jatuh hati dan nekad untuk merakamkannya.

Tengku Shafick sebelum ini pernah menghasilkan lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza (Cuba Untuk Mengerti) dan Anuar Zain (I’m The Lucky One).

Senario industri muzik sekarang sudah berbeza berbanding zaman anda mula-mula menjadi penyanyi dahulu. Bagaimana dengan harapan agar dua single baharu ini diterima khalayak?

Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Saya rakam single atas dasar minat. Bagaimanapun, dengan trend muzik sekarang yang mula kembali kepada melodi 80-an dan 90-an, saya optimis untuk lagu ini diterima ramai.

Dalam tempoh lebih lima tahun menyepikan diri, anda masih lagi menyanyi untuk acara-acara korporat. Selain itu, apa perkara lain yang anda lakukan?

Saya sibuk menguruskan keluarga tetapi saya tidak pernah berhenti menyanyi. Saya banyak melakukan persembahan di Johor Bahru. Dalam pada itu, puteri tunggal saya, Arisya kini sudah berusia 14 tahun dan bersekolah asrama.

Justeru, saya boleh fokus menyanyi kerana ada banyak masa terluang. Sebelum ini, dia masih kecil, andai menjayakan persembahan saya selalu teringatkan dia dan keluarga di rumah.

Jika diberi peluang untuk menyertai pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim terbaharu nanti, adakah anda akan pertimbangkannya?

Mengapa tidak. Kalau diberikan peluang, saya okey sahaja. Lagipun, saya suka dengan konsep pertandingan tersebut yang menggunakan sistem 100 peratus pemarkahan daripada juri profesional.

Bagaimana pula minat anda dalam bidang permotoran?

Masih lagi aktif. Setiap minggu saya akan berkonvoi bersama suami dengan kumpulan Harley Owners Groups (HOG).

Post a Comment

Previous Post Next Post