Fattah Amin, Ujian setiap orang berbeza


AKTOR ini tabah menghadapi setiap ujian dengan sokongan dan doa peminat.

SUHU termometer dunia hiburan tanah air sepanjang minggu ini dilihat mencanak naik angkara kontroversi antara Fattah Amin dan Neelofa apabila dikatakan wujudnya pihak ketiga, Tania Hudson namanya.

Terdahulu, Neelofa tanpa berselindung mengakui kesal apabila mengetahui perkara itu dengan cara tidak sewajarnya, namun enggan mengulas lanjut memandangkan hubungannya bersama Fattah amat rumit untuk dijelaskan selepas dikatakan rapat apabila bergandingan dalam drama Suri Hati Mr. Pilot yang mencetuskan fenomena tersendiri baru-baru ini.

Tanpa mengambil masa lama, Tania juga segera menafikan perkara itu, sebaliknya menyifatkan hubungannya bersama Fattah tidak lebih sekadar teman sekerja kerana bergandingan bersama dalam sebuah filem terbitan Skop Production, KL Special Force.

Suka atau tidak, jawapan konkrit daripada Fattah selaku tuan empunya badan juga dinanti-nantikan peminat, sementelahan pula baik Fattah mahupun Neelofa tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka benar-benar bercinta sebelum ini.

Enggan memanjangkan kontroversi itu, bagi Fattah, ada baiknya dia tidak membuat sebarang kenyataan balas terhadap komen yang terlebih dahulu dikeluarkan Neelofa.

Sebaliknya, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin itu percaya dirinya akan tabah menghadapi ujian ini terutamanya dengan doa dan sokongan kuat peminat.

“Berkenaan permintaan komen balas terhadap kenyataan Neelofa, sejujurnya saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan untuk memanjangkan lagi isu ini.

“Setiap orang akan melalui ujian yang berbeza dan ini adalah waktu untuk saya diuji. Untuk menjadi orang yang hebat, saya percaya dugaan juga pastinya hebat.

“Apapun, saya memohon agar semua peminat terus mendoakan saya untuk terus kuat menghadapi ujian ini,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Mengulas lanjut, Fattah memberitahu, dirinya sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan sebagai anak seni.

“Setiap selebriti yang sedang melalui fasa peningkatan akan sentiasa diuji. Jadi, diharap peminat dan media akan terus menyokong kerjaya seni saya supaya menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan,” getus Fattah.

Ditanya sama ada kontroversi bersama Tania sekadar gimik untuk meraih publisiti khalayak menjelang filem lakonan mereka berdua, KL Special Force yang dijangka ditayangkan tahun depan, pihak pengurusan Fattah juga enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Jadi apa sebenarnya yang berlaku? Cuma Fattah, Neelofa dan Tania saja yang tahu. Moga ada hikmah-Nya di sebalik kontroversi yang seringkali membayangi pesona anak seni sejak sekian lama.

Post a Comment

Previous Post Next Post