
ANUAR ZAIN meletakkan sasaran untuk membikin sebuah konsert berskala besar dan memberi impak terhadap karier seni pada tahun depan.
SETELAH menamatkan jelajah rangka promosi albumnya ke enam lokasi di seluruh Malaysia, penyanyi popular, Anuar Zain berhasrat mengadakan sebuah konsert berskala besar khusus untuk para peminatnya.
Anuar yang baharu melancarkan album kelimanya awal Oktober lepas berkata, perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan.
Album terbaru tersebut memuatkan lapan lagu iaitu Andainya Takdir, Kembali, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Kembali Padamu Ilahi, Selamat Malam dan Hujan.
Ia turut mendapat sentuhan komposer tempatan dan Indonesia seperti Helen Yap, Habsah Hassan, Najwa Mahiaddin, Syed Haron Ahmad, Numata, Alto dan Alam Anggara Urbach.
“Biasanya selepas sesi jelajah promosi album berlangsung pasti ada berakhir dengan konsert. Saya juga berharap dapat melakukan perkara sama.
“Walaupun album tersebut telah dilancarkan dua atau tiga tahun lalu, sesi promosi tetap harus dijalankan.
“Kita masih lagi berbincang tentanga agenda untuk mengadakan konsert dan sekiranya ada rezeki, kami juga mahu mengadakan sebuah konsert yang besar,” katanya ketika ditemui semasa Anuar Zain Album Tour 2016 di Mydin Pelangi Indah, Johor Bahru, minggu lalu.
Pada sesi tersebut, Anuar sempat meluangkan masa kira-kira empat jam bersama para peminatnya termasuk mempersembahkan empat lagu hitnya iaitu Ketulusan Hati, Andainya Takdir, Kerana Aku Cinta dan Sedetik Lebih.

Anuar Zain (duduk kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian peminatnya pada sesi bertemu peminat sepanjang Anuar Zain Album Tour 2016 di Mydin Pelangi Indah, Johor Bahru, baru-baru ini.
Untuk rangka promosi tersebut, Anuar menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings menemui peminat di beberapa lokasi terpilih sebelum ini iaitu Mydin USJ pada 9 Oktober, Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang (30 Oktober), Mydin Meru Raya, Ipoh (6 November), Mydin Gong Badak, Terengganu (12 November) dan Mydin Seremban 2, Negeri Sembilan (4 Disember).
Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain memberitahu, untuk mengadakan sebuah konsert yang besar memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek.
“Saya sedang fikir masa yang sesuai untuk mengadakan konsert dan banyak perkara lain juga harus direncanakan.
“Bila bercakap soal konsert, ia bukan suatu perkara yang kecil bahkan perlu menyeluruh. Saya harus memikirkan tentang konsep, siapa yang mahu diajak bekerjasama, lokasi, penajaan dan sebagainya.
“Jadi, banyak kerja yang perlu dilakukan serta difikirkan. Banyak juga kerja-kerja belakang tadbir perlu diselesaikan.
“Membikin konsert bukannya kerja mudah. Ia memerlukan kesabaran dan kerja keras sekiranya mahu mendatangkan impak,” jelas Anuar yang sudah memenuhkan jadual seninya sehingga April tahun depan.
Demi melestarikan konsert besarnya pada tahun depan, penyanyi berusia 46 tahun tidak bercadang mengadakan konsert jelajah.
“Saya tidak pasti untuk melakukan konsert jelajah tetapi tengoklah, kalau ada rezeki.
“Cuma buat masa sekarang, saya tidak boleh membuat sebarang pengumuman tentang konsert besar itu kerana pihak kami belum ada kata muktamad, tiada hitam putih. Doakan ia berjalan lancar,” katanya.
Berbalik tentang sesi jelajah Anuar Zain Album Tour 2016 yang berlangsung di enam pasaraya Mydin terpilih seluruh negara, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini bersyukur, siri promosi tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Alhamdulillah program ini melangkaui sasaran kami. Sudah lama saya tidak terlibat dengan sesi jelajah seperti ini dan berpeluang bertemu peminat seluruh negara.
“Ia benar-benar menyeronokkan. Penat memang penat tetapi saya tidak boleh fikir tentang letih. Ini semua untuk promosi dan hadiah kepada peminat setia saya. Syukur, ia amat berbaloi apabila setiap kali lokasi dikunjungi ramai peminat menanti,” katanya yang bersedia untuk bekerjasama lagi dengan Mydin Mohamed Holdings pada masa akan datang.