
AMAR ASYRAF berasa cukup terkilan apabila teater yang disifatkan paling istimewa sepanjang kerja seninya, Putera La Galigo ditunda pementasannya.
PELAKON Amar Asyraf mengakui sedikit terkilan apabila teater berjudul Putera La Galigo yang sepatutnya menemui penonton pada 16 Disember lalu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor terpaksa ditangguhkan pementasannya.
Memegang watak utama sebagai Raja Lumu, Amar yang ditemui pada sidang media filem Mia Tiara berkata, teater yang mendapat sentuhan pengarah Rosdeen Suboh itu merupakan antara naskhah istimewa yang pernah dijayakan sepanjang terlibat sebagai penggiat teater.
Menurut Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 30, selain mengkaji tentang watak, dia bersama dan para pelakon lain turut memperuntukkan masa latihan tambahan demi mendalami watak putera raja yang akhirnya diangkat sebagai Sultan Selangor yang pertama.
Selain berkongsi mengenai kesedihannya berkenaan penangguhan teater Putera La Galigo, pelakon yang popular dengan drama bersiri Setia Hujung Nyawa itu turut berkongsi mengenai perjalanan seninya yang agak perlahan sepanjang 2016 dan kekesalannya terhadap beberapa naskhah filem yang dijayakan tetapi tidak pernah ditayangkan di layar lebar.
KOSMO!: Apa khabar Amar? Boleh ceritakan perkembangan terbaharu?
AMAR: Khabar baik. Saya bakal memulakan penggambaran bagi filem bercorak Islamik berjudul Mia Tiara tidak lama lagi. Selain itu, saya sedang menyudahkan proses penggambaran bagi drama bersiri Suamiku Mat Saleh Celop yang dijadualkan menemui penonton di TV3 pada tahun hadapan.
Boleh kongsikan sedikit mengapakah Amar bersetuju untuk membintangi filem Mia Tiara?
Sebenarnya, saya sedikit skeptikal setiap kali menerima tawaran berlakon filem. Beberapa naskhah yang saya lakonkan sebelum ini tidak memberi impak seperti yang diharapkan. Sebagai contoh, Qada’ yang sepatutnya ke pawagam hanya ditayangkan di Astro First, manakala filem TyIcKooUnS pula masih tidak ditayangkan sehingga ke hari ini. Sebenar, saya masih ada perasaan sangsi dan kecewa dengan filem-filem sebelum ini. Namun, apabila memikirkan tentang kesesuaian watak, saya menerima tawaran untuk membintangi Mia Tiara.
Bercakap tentang kekecewaan, adakah anda juga kecewa apabila teater Putera La Galigo ditangguhkan pementasannya?
Ya, saya sangat kecewa apabila diberitahu tentang penangguhan Putera La Galigo. Selama enam tahun bergelar penggiat teater, ini merupakan karya yang boleh saya kelaskan sebagai cukup istimewa. Selain kaya dengan sejarah, Putera La Galigo juga memberikan kesempatan untuk saya mempelajari perkara baharu seperti silat dan teknik nyanyian yang betul.
Apakah yang menyebabkan teater Putera La Galigo ditangguhkan dan bilakah tarikh baharu pementasannya?
Pihak produksi mahukan sebuah pementasan yang berkualiti. Justeru, penangguhan tersebut diharap dapat memperhalusi mutu lakonan kami semua. Buat masa ini, saya diberitahu kemungkinan teater tersebut akan menemui penonton sekitar April tahun depan.
Melihat situasi industri hiburan tempatan ketika, kebanyakan aktiviti seni yang ditangguhkan akan berakhir dengan pembatalan. Bagaimana jika pementasan teater Putera La Galigo mendapat nasib serupa?
Sejujurnya, saya akan berasa sangat kecewa. Tahun 2016 merupakan tahun rehat saya. Kebanyakan masa dihabiskan dengan jelajah bersama kumpulan teater saya iaitu Projek Ronggeng. Jika teater tersebut dibatalkan, ia memberi signifikan bahawa tahun ini sebagai tahun paling tidak produktif bagi saya.