
Bagi Zarul menyanyikan lagu sendiri lebih berat daripada menyanyikan lagu orang lain.
MINGGU ini kecoh seketika apabila tiga penyanyi, Siti Sarah, Zarul Umbrella dan Nora yang dikatakan ‘enggan’ menyanyikan lagu pilihan media yang bakal dipentaskan pada malam nanti di konsert minggu ketujuh, Gegar Vaganza 3. Apa yang pasti, masing-masing punya alasan tersendiri.
Paling menyedihkan apabila Nora yang terpaksa berdepan dengan respons negatif daripada umum apabila memilih lagu sendiri, Sandiwara untuk dinyanyikan pada malam ini. Situasi tersebut secara tidak langsung menimbulkan cakap-cakap belakang yang mendakwa seolah-olah pelantun lagu hit Samudera itu tidak berani menyahut cabaran yang diberikan kepadanya.
Sungguhpun begitu, bagi rakan seperjuangannya, Zarul mempunyai pandangan tersendiri berhubung hal tersebut. Sebagai seorang anak seni yang sudah berdekad lamanya berada dalam industri, jelasnya, menyanyikan lagu sendiri merupakan satu tugasan berat.
“Orang luar mungkin akan melihat situasi itu sebagai satu yang mudah, nampak ‘kacang’ kerana penyanyi menyanyikan lagu sendiri. Bagaimanapun, pada saya, menyanyikan lagu sendiri bukanlah mudah dan ada kesukarannya.
“Ia akan memberi satu tekanan lebih kepada penyanyi itu sendiri kerana juri akan meletakkan satu jangkaan harapan yang lebih tinggi daripadanya,” jelas Zarul ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Zarul mempunyai alasan sendiri untuk tidak memilih lagu pilihan media.
Menurut Zarul, padanya, tidak salah menyanyikan lagu sendiri kerana dalam musim sebelumnya juga, terdapat situasi sama.
“Siti Nordiana pun pernah menyanyikan lagu sendiri. Memang kami tidak ada halangan untuk menyanyikannya. Pada saya, kalau seseorang itu boleh menyanyikan lagu yang sama suaranya seperti dalam kaset, itu kelebihan buatnya, tapi dari segi penjurian ia akan jadi lebih kritikal,” katanya.
Dalam kes Zarul, dia juga tidak akan mempersembahkan lagu pilihan media pada malam ini. Bagaimanapun, dia mempunyai alasan yang cukup munasabah apabila lagu pilihan media sebenarnya sudah terlebih dulu dinyanyikan pada minggu kelima iaitu lagu hit, Ku Rela Dibenci nyanyian asal Aiman Tino.
“Sebenarnya, kami juga diberikan peluang untuk menyatakan senarai beberapa lagu pilihan yang ingin dinyanyikan sepanjang program ini. Secara kebetulan, lagu pilihan media iaitu Aiman Tino juga merupakan antara senarai lagu yang ada dalam senarai saya yang sudah dinyanyikan pada dua minggu sebelumnya.
“Atas sebab itulah, saya kemudian diberikan lagu Hanya Yang Mampu (Aizat) dan lagu Salahkah yang akan berduet bersama Marsha,” jelas Zarul ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Ditanya mengenai lagu pilihan media lain yang diberi, kata Zarul, dia turut diberikan lagu Mimpi Laila nyanyian asal Yasin. Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa menolak dengan cara baik memandangkan dia mempunyai susun atur perancangan yang sudah ditetapkan terlebih dulu untuk minggu berikutnya.
“Apapun, saya tetap akan mempertimbangkan lagu Mimpi Laila untuk minggu lain. Insya-Allah, mungkin boleh difikirkan untuk ke final nanti kalau ada rezeki,” tuturnya menjelaskan hal tersebut.
Ditanya mengapa dia tidak memilih lagu sendiri, kata Zarul, ada beberapa aspek yang dipertimbangkannya.
“Dalam memilih lagu, kita kena fikirkan lagu itu. Sebolehnya lagu yang boleh penonton ikut nyanyi bersama seperti yang pihak produksi mahukan.
“Jadinya, kalau nak nyanyi lagu Bukalah Hatimu, bimbang tak semua orang tahu lagu itu nanti. Tambahan pula, inilah peluangnya untuk saya menyanyikan lagu orang lain. Saya pun sudah muak nyanyi lagu sendiri,” selorohnya.