
MESKIPUN kerjaya sebagai penyanyi kurang menyerlah, Fahd Ezuan tidak bercadang untuk mengubah haluan seninya kepada bidang lakonan.
BESAR harapan jejaka kelahiran Terengganu, Fahd Ezuan dalam mengejar cita-cita sebagai penyanyi meskipun dua karya taruhannya sebelum ini kurang mendapat tempat di hati peminat.
Biarpun menggunakan khidmat komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan menerusi lagu Meniti Waktu dan single kedua bertajuk Janji yang dihasilkan oleh Tam Spider, ia sama sekali tidak menjanjikan dapat menambat hati peminat muzik tanah air.
Menyedari sukar mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan, pemilik nama Wan Mohd. Izuan Wan Omar ini tetap gigih berusaha mengejar impian menjadi penyanyi.
Merupakan penuntut tahun akhir Diploma Kulinari di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Shah Alam, Fahd sekali lagi tampil dengan single baharu berjudul Lagu Tentang Kita ciptaan Akid, manakala lirik ditulis oleh Poji Samad.
“Saya mengakui sehingga hari ini agak sukar mendapat tempat dalam industri hiburan sejak memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada tahun 2012.
“Bagaimanapun, saya tetap optimis dengan keputusan untuk meneruskan minat dalam bidang seni suara biarpun mengambil masa yang lama,” jelas Fahd bersungguh-sungguh.
Lagu berentak balada yang mula dilancarkan pada Ogos lalu itu mendapat perhatian pendengar stesen radio, khususnya negeri Pantai Timur, manakala muzik video lirik lagu tersebut berjaya meraih tontonan hampir 6,000 di laman YouTube.
Fahd mengakui, pemilihan lagu genre balada dirasakan sesuai mengikut kekuatan vokal serta imejnya.
Merasakan kelebihan buat dirinya sebagai anak kelahiran Kuala Terengganu, ia merupakan antara penyumbang utama dia mudah diterima oleh peminat dari negeri Pantai Timur.
Baginya situasi itu tidak bermakna pencapaiannya cukup sekadar digelar jaguh kampung tetapi ia merupakan petanda positif bahawa usaha kerasnya untuk menjadi penyanyi bukan sia-sia.
“Biarpun dikenali peminat di negeri Pantai Timur, ia bermakna mereka menerima kehadiran dan suka dengan lagu yang saya bawakan,” tambahnya.
Berlakon
Tidak terfikir untuk mengubah haluan daripada penyanyi kepada bidang lakonan, jejaka berusia 27 tahun itu selesa memberi tumpuan kepada suatu perkara dalam suatu masa.
Selain itu, keadaan industri hiburan yang sukar diramal menjadikan Fahd tidak ingin terlalu gopoh dalam membuat keputusan, apatah lagi mengejar populariti sebagai pelakon.
“Melihat kepada kemampuan diri, saya lebih yakin dengan kerjaya nyanyian berbanding lakonan kerana terus terang tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi pelakon.
“Meskipun mengambil masa yang lama untuk dikenali peminat, perkara itu tidak menjadi punca mengapa perlu terjun ke bidang lakonan dan melupakan segala usaha keras mengejar cita-cita sebagai penyanyi,” jelas Fahd panjang lebar.