Zahid Baharuddin Pelan baru perlu ada


Jangka masa 12 tahun bertapak dalam industri muzik mematangkan bekas juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini.

Liku dan ranjau yang ditempuhinya jelas tidak menoktahkan perjuangannya untuk menjadi penyanyi berpengaruh.

Biarpun Zahid Baharuddin, 35, mungkin belum mengecap kegemilangan sepenuhnya dalam kerjaya, tetapi dia sentiasa diingati.

Disebabkan itulah, dia sentiasa yakin masih ramai juga yang mengikuti kariernya.

Namun, itu bukan alasan Zahid untuk tidak berusaha keras. Apatah lagi dengan kemunculan penyanyi muda yang lebih cepat mencipta nama, dia mahu pantas mengatur strategi terbaik.

“Pasaran muzik sekarang memang pantas berubah. Kita tidak boleh menjangka kerana dalam beberapa bulan ‘trend’ muzik yang disukai terus bertukar. Penyanyi baru pula ramai yang pantas menjadi kegilaan.

“Saya juga mahu mengambil pendekatan sebegitu apabila perlu memantau serta ‘follow up’ apa saja yang berlaku. Selain menggiatkan promosi, pelan baru perlu sentiasa ada,” katanya.

Tampil berbeza

Zahid yang kini tampil dengan single terbaru berjudul Biar Aku Yang Tahu yang berentak balada dilihat agak berisiko.

Ini kerana Zahid dilihat cuba lari daripada bayangan asalnya yang sebelum ini lebih dikenali dengan lagu santai serta rancak.

Bagi Zahid ia bukan masalah kerana menerusi lagu itu, dia dinobatkan sebagai Artis Terbaik RAKU (Streaming Muzik Digital) bulan lalu.

Pastinya ia satu permulaan memberangsangkan walaupun tujuan asalnya hanya mahu menampilkan perbezaan.

“Saya memang mahu cuba lari daripada penyanyi yang lebih kepada genre santai dan rancak. Kebelakangan ini lagu balada mula menempa perhatian semula membuatkan saya lebih yakin mempertaruhkan Biar Aku Yang Tahu.

“Apa yang pasti, saya memang sangat bekerja keras bersama label SRC untuk memastikan lagu itu terus mendapat perhatian. Buktinya, setiap kali promosi membabitkan persembahan, saya akan pastikan persiapan vokal pada tahap terbaik,” katanya.

Ditanya sekiranya risiko diambil itu akan dipertikaikan peminat, Zahid mengakui ada pro dan kontranya.

“Saya tidak mahu berpaling ke belakang dan memang sudah memilih jalan ini. Jadi saya perlu teruskan perjuangan dengan cara apa pun dan sekarang ini memang segalanya terpulang kepada rezeki serta kerja keras.

“Mengenai hala tuju muzik saya, single balada itu hanya untuk membuktikan kemampuan berbeza dalam diri,” katanya.

Bukan cakap kosong, Zahid tidak menafikan dia sentiasa bersedia sekiranya laluan untuk single itu tidak seperti diharapkan.

“Terus terang, saya dan label memang menaruh harapan tinggi kerana lagu berkenaan dihasilkan dengan bersungguh-sungguh. Namun, segalanya terpulang kepada nasib juga meskipun bagaimana hebatnya lagu berkenaan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post