
LEBIH empat dekad bergelar pelakon, Wan Maimunah Wan Abd Aziz atau lebih suka membahasakan dirinya sebagai ibu tidak pernah terfikir untuk bersara daripada dunia seni.
Menganggap ia sebagai punca rezeki untuk menyara hidupnya, Wan Maimumah mahu terus berlakon selagi masih ada yang mahu melihat kelibatnya beraksi sebagai anak wayang.
Penglibatannya dalam dunia lakonan bermula pada awal tahun 1970-an apabila secara tidak sengaja menyertai pertandingan drama di Johor Bahru kerana menggantikan seorang peserta yang tiba-tiba menarik diri.
“Ibu pergi ke acara tersebut kerana diajak seorang rakan untuk menyertai pertandingan menari, namun apabila tiba di sana lain pula jadinya apabila ibu tiba-tiba diminta menggantikan seorang peserta untuk masuk pertandingan drama.
“Ketika itu umur ibu masih belasan tahun, jadi tanpa banyak soal ibu menurut sahaja apa yang diminta dan tidak sangka pula tiba-tiba menang pertandingan tersebut yang kemudiannya melayakkan ibu bertanding di peringkat daerah seterusnya kebangsaan,” imbasnya.
Perjalanan seninya yang sebenar bermula apabila pelakon yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular lima tahun berturut-turut (1992, 1993, 1994, 1995 & 1996/97) ini berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Ibu berhijrah ke ibu kota kerana mendapat tawaran kerja di Kementerian Kebudayaan yang kemudiannya banyak menemukan ibu dengan orang-orang yang aktif dalam bidang seni dan akhirnya turut membawa ibu menurut jejak langkah mereka.
“Khalid Salleh adalah orang pertama yang menawarkan ibu untuk berlakon teater, di mana ketika itu ibu sekali lagi diminta untuk mengisi kekosongan watak yang ditinggalkan oleh pelakon asal yang sepatutnya membawa watak tersebut.
“Peluang yang datang secara kebetulan itu kemudiannya membawa ibu kepada tawaran-tawaran lain sehingga membuat ibu merasa perlu untuk menimba lebih ilmu agar dapat memperbaiki mutu lakonan pada masa akan datang,” katanya.
Mengimbau kembali cerita lalu, Wan Maimunah turut berkongsi rasa terhutang budi kepada pelakon Fauziah Nawi, kakak angkatnya yang banyak menghulurkan bantuan ketika dia baru berhijrah ke ibu kota.
“Ketika baharu berhijrah Ke Kuala Lumpur, Fauziah Nawi banyak membantu termasuklah memberikan tempat tinggal bersama keluarganya untuk ibu tumpang berteduh sementara mendapat rumah yang lebih sesuai.
“Selepas kenal Fauziah, ibu semakin terdedah dengan aktiviti lakonan apabila dia sering membawa ibu untuk mencuba nasib menjadi pelakon tambahan di RTM.
“Walaupun ketika itu bayarannya hanya RM30, namun kami merasa cukup seronok dan berkobar-kobar untuk mendapatkan lebih banyak peluang dalam dunia lakonan,” katanya yang berpeluang muncul dalam drama TV hitam putih terakhir, Cenderamata pada tahun 1980.
Mengakui dirinya lambat dikenali berbanding rakan-rakan seangkatannya yang lain, pelakon yang kini sudah menginjak ke usia 63 tahun ini tidak pernah berasa putus asa kerana yakin kepada aturan rezeki yang telah ditetapkan untuknya.
“Hampir 10 tahun berlakon, nama ibu masih belum dikenali ramai sehinggalah ibu muncul dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang tiba-tiba memberi impak besar dalam kerjaya lakonan ibu di mana orang mula kenal siapa Wan Maimunah.
“Ibu tidak pernah menyalahkan sesiapa dalam soal ini kerana ketika itu pun ibu bukan berlakon sepenuh masa sebaliknya perlu membahagikan masa dengan kerja tetap ibu di Kompleks Kebudayaan Negara,” akuinya jujur.
Rindu berlakon pentas
Menyentuh cabaran utama yang dilalui ketika zamannya menempa nama, anak kelahiran Johor Bahru ini menganggap kesukarannya lebih kepada bagaimana usaha seseorang pelakon itu untuk memberikan yang terbaik dalam kerjayanya.
“Dulu pelakon tidak ramai dan mereka yang ada itu semuanya bagus-bagus, baik dari segi bakat, disiplin serta komitmen yang diberikan kepada kerjaya sehingga menjadikan setiap daripada kita sentiasa mahu tampil lebih baik lagi.
“Bayaran untuk berlakon teater zaman dulu sangat rendah, tetapi masih ramai yang berebut mahu berlakon teater kerana mereka tidak melihat kepada bayaran sebaliknya mahu menimba ilmu lakonan menerusi pengalaman berlakon pentas.
“Apabila sebut teater, jujurnya ibu sangat rindu untuk kembali berlakon di pentas yang ibu sifatkan banyak mendedahkan ibu kepada ilmu lakonan yang tidak mampu dibeli di mana-mana,” ujarnya yang kali terakhir muncul berlakon pentas dalam Muzikal Rubiah yang dipentaskan di Istana Budaya sekitar tahun 2005.
Begitu sinonim dengan watak air mata, Wan Maimunah mengakui tidak pernah membataskan dirinya kepada watak tertentu sahaja.
“Ibu tidak pernah memilih watak sebaliknya cuba mengambil peluang untuk menjayakan pelbagai jenis watak bagi menguji kebolehan diri selain serius dengan tanggungjawab yang diberikan.
“Minta maaf kalau ibu katakan, zaman sekarang semua benda mahu diambil mudah sehingga kadang-kala merosakkan karya yang hendak disampaikan kepada penonton.
“Disebabkan itu ibu sering mengambil inisiatif sendiri untuk membuat persiapan baik dari segi latihan sehinggalah kepada kostum mahupun props bersesuaian untuk watak yang ibu bawakan jika pihak produksi terbabit tidak menyediakan semua itu,” katanya.
Berkongsi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2002 ini pantas menyebut tentang peristiwa disapa Sultan Brunei beberapa tahun dahulu.
“Ketika itu ibu berkunjung ke Brunei untuk menghadiri satu majlis yang turut melibatkan baginda Sultan dan para kenamaan di sana.
“Ibu sangat terkejut apabila baginda datang menyapa ibu sambil memberi sedikit komen tentang lakonan ibu dalam drama Quran Buruk arahan Rashid Sibir, di mana tanpa disangka telah menarik perhatian baginda,” ceritanya.