
RASHID (tengah) meluahkan rasa kecewa dengan sikap stesen televisyen yang kurang adil terhadap rumah produksi tempatan.
SEJAK kebelakangan ini, pembahagian projek bagi penerbitan drama rantaian oleh beberapa stesen televisyen tempatan dilihat kurang adil. Perkara tersebut diakui sendiri oleh tiga penerbit dan pengarah tersohor tanah air iaitu Rashid Sibir, Othman Hafsham dan Heykal Hanafiah.
Menurut mereka, kebanyakan stesen televisyen tidak mempedulikan karyawan senior dan hanya memberikan peluang menerbitkan drama kepada rumah produksi tertentu sahaja.
“Kami lihat senario ini semakin menular. Rumah produksi yang sama semakin kerap diberi peluang untuk menerbit dan mengarahkan sesebuah drama rantaian.
“Jika perkara begini berlarutan, bagaimana rumah produksi lain, khususnya yang lama mahu berkembang dan menjana pendapatan?” ujar mereka ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Melanjutkan bicara, Rashid berkata, kekerapan stesen televisyen melantik sesebuah rumah produksi berulang kali untuk menerbitkan drama turut melarutkan tahap imaginasi penonton dalam sebuah genre yang sama.
“Jika dilihat dari sudut kreatif, penonton tidak lagi disajikan dengan karya-karya yang mampu menjana minda menerusi kandungan mesej positif.
“Sebagai contoh, Hafsham pernah menghasilkan filem Mekanik yang mempertaruhkan kisah masyarakat, manakala sitkom 2+1 dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu pula cukup sarat dengan sindiran sosial,” katanya yang cukup terkenal dengan drama-drama berat seperti Pondok Buruk, Rumah Di Tengah Sawah, Bertaut Di Jabal Rahmah dan Takbir Suci.
Beliau mengakui, stesen televisyen perlu memikirkan soal rating, keuntungan dan penerimaan penonton tetapi sebagai salah sebuah platform seni, mereka juga perlu sedar bahawa apa yang dipertontonkan itu perlu memberikan kesan positif kepada khalayak.
Sementara itu, Hafsham menambah, situasi ini dilihat semakin kritikal dan ia boleh membunuh sisi kreatif seni dan sutradara tersebut sendiri.
Ujarnya, selain cinta, banyak lagi elemen lain yang boleh diangkat ke dalam sesebuah karya.
“Saya perhatikan, stesen televisyen pada masa kini hanya mengangkat kisah kehidupan masyarakat Melayu tanpa mempedulikan dua bangsa lain yang ada di negara kita.
“Budaya ini sangat tidak sihat memandangkan bukan golongan Melayu sahaja yang menonton televisyen. Kisah mengenai bangsa Cina dan India juga perlu disuntik ke dalam sesebuah karya supaya ia dapat ditonton serta diterima oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Ditanya mengenai kegilaan audiens terhadap genre cinta dan keterbukaannya terhadap karya sedemikian, pengarah filem romantik komedi, Soal Hati itu berkata: “Saya masih boleh berkarya dan mahu menghasilkan material-material baharu.
“Jika peluang diberikan oleh stesen televisyen, insya-Allah saya boleh lakukan.”
Telenovela
Bagi Heykal pula, trend penerbitan drama jenis telenovela sedikit sebanyak menutup peluang puluhan rumah produksi lain untuk jangka masa yang sangat panjang.
Ujar pengarah yang terkenal dengan drama Telapak Syurga dan Dosa Semalam itu, kuota sebuah telenovela yang berjumlah sekitar 100 episod untuk sesebuah naskhah boleh diagih dan dibahagikan menjadi beberapa drama bersiri berbeza.
“Drama berkonsepkan telenovela biasanya dihasilkan dalam jumlah episod yang agak banyak. Justeru, saya cadangkan supaya trend tersebut diberhentikan dan kuota episod yang ada dibahagikan untuk penerbitan drama bersiri dengan jumlah episod yang sedikit.
“Hal ini bukan sahaja dapat memberi variasi terhadap perkembangan kreatif naskhah terbitan untuk televisyen, malah memberi peluang pekerjaan kepada kru di bawah rumah produksi yang terlibat,” katanya.