Sambutan Luar Biasa Bisnes Pulut Kuning Zarina Zainuddin


Bisnes pulut kuning Zarina Zainuddin semakin berkembang maju.

Pelakon Zarina Zainuddin tidak menyangka perniagaan pulut kuning dan rendang diusahakannya sejak beberapa bulan lalu mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan walaupun dia hanya membuat promosi menerusi Instagram.

Zarina, 46, berkata, sambutan menggalakkan itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk meneruskan bisnes berkenaan meskipun jadualnya padat dengan aktiviti lakonan.

"Pada awalnya saya hanya buat secara suka-suka sahaja tetapi tidak sangka pula ia mendapat perhatian pengikut di Instagram dan tempahan semakin banyak.

"Sekarang memang saya banyak fokus kepada bisnes pulut dan rendang kerana permintaan malah ada membuat tempahan untuk majlis pertunangan dan hari jadi.

"Penat memang penat sebab saya masih aktif berlakon tetapi tidak mengapa ia rezeki daripada Allah," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Zarina berkata, secara purata dia akan memasak 15 kilogram pulut setiap hari selain 20 ekor ayam dan 15 kilogram daging untuk dibuat rendang.

Katanya lagi, setiap hari dia akan mula memasak seawal pukul 6 pagi sebelum membuat penghantaran pada waktu tengah hari.


Inilah antara contoh pulut kuning dibuat Zarina.

"Malam sebelumnya dua pembantu rumah saya akan menyiapkan bahan-bahan untuk memasak dan sesudah solat Subuh saya akan terus memasak sebelum saya sendiri membuat penghantaran kepada pelanggan.

"Saya hantar sendiri semua tempahan kerana ingin menyerahkan sendiri kepada pelanggan sebagai penghargaan selain ingin mendapat reaksi bagi memperbaiki kekurangan.

"Alhamdulillah setakat ini maklum balas diberikan cukup baik malah ramai yang membuat tempahan berulang-kali," katanya.

Sementara itu, Zarina berkata, bisnes berkenaan juga memberinya lebih masa berada di rumah untuk bersama anak-anak dan keluarga yang banyak membantunya melancarkan proses penyediaan pulut kuning.

"Suami jadi pembantu pergi ke kedai beli barang-barang penyediaan malah anak-anak pun sibuk membantu saya di dapur.

"Ia membuatkan hubungan kami lebih rapat dan saya dapat meluangkan masa lebih banyak bersama mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zarina berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem berjudul Malaun arahan Zack Lokman selain bakal muncul dalam dua projek drama terbitan TV3 tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post