BEBAS - Warner Music Malaysia memberi kebebasan penuh kepada Faizal Tahir dalam proses penghasilan album keempat itu.
KALI pertama lelaki ini melangkah ke dalam gelanggang industri muzik tanah air sewaktu bersama kumpulan nasyid Mirwana.
Beralih angin daripada seorang penyanyi nasyid kepada pop rock selepas muncul selaku naib juara dalam pertandingan One In A Million pada tahun 2006, pemilik nama Ahmad Faizal Mohammad Tahir terus meledak sehingga mencetuskan fenomena luar biasa.
Berdiri dengan nama pentas Faizal Tahir, meskipun pernah dihujani pelbagai kontroversi termasuk menanggalkan baju ketika membuat persembahan, namun ia sedikit pun tidak membantutkan semangat penyanyi berusia 38 tahun itu untuk terus berkarya.
Tampil kali terakhir dengan album ketiga berjudul Faizal Tahir pada tahun 2013, kini penantian peminat selama tiga tahun menemui noktah dengan kelahiran karya terbaharu berjudul Anatomi Faizal Tahir.
Mula berada di pasaran sejak 4 November lalu, album tersebut mengandungi tujuh buah lagu baharu seperti Suriram, Bukan Yang Pertama dan lima lagu bonus antaranya Dirgahayu duet bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Negaraku (Joe Flizzow dan Altimet).
Disifatkan sebagai album paling istimewa buat anak seni kelahiran Kuala Lumpur ini, hasil semaian Faizal selama tiga tahun terbalas dengan kemeriahan sambutan jelajah pelancaran album yang diadakan di tiga lokasi berbeza baru-baru ini.
Bermula dari selatan tanah air iaitu di Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor, penyanyi penuh karisma ini terus menggoncang adrenalin peminatnya di utara bertempat di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah dan lokasi terakhir di IOI City Mall, Putrajaya.
Tambah menarik, Faizal yang kini bernaung di bawah label Warner Music Malaysia turut membuat persembahan di atas trak yang ditempah khas untuknya.
“Alhamdulillah, ia merupakan sebuah pengalaman menarik dan saya fikir tidak semua orang dapat merasainya. Saya sangat teruja dan terkejut apabila pihak Warner Music Malaysia menerima idea mengadakan pelancaran seperti ini di Johor, Kedah dan Putrajaya.
“Saya sama sekali tidak terfikir ingin membuat gimik untuk pelancaran album seperti ini tetapi ia adil untuk memberikan pengalaman berbeza kepada peminat selepas tiga tahun menunggu serta tidak pernah jemu memberi sokongan selama 10 tahun berada dalam persada industri,”ujarnya memulakan bicara.
Melihat kepada sambutan yang diberikan sepanjang jelajah berlangsung dan mengulas penantian peminat selama tiga tahun bukanlah suatu tempoh singkat, dengan rasa terharu Faizal memberitahu, perkara itu benar-benar melakar detik bersejarah dalam diari seninya.
“Seperti diketahui, dalam tempoh tiga tahun saya terikat menggubah lagu untuk artis di bawah naungan saya, malah terlibat dengan tugas kemanusiaan ke Syria dan misi meningkatkan kesedaran melalui label Faithmen.
“Bagaimanapun, selepas tiga tahun tanpa album dan melihat sambutan diberikan dan masih fikir saya relevan dalam industri bagaikan satu penghargaan sangat besar buat diri ini,” tuturnya
Anatomi
MASIH RELEVAN - Sambutan hangat peminat di setiap lokasi jelajah pelancaran album Faizal Tahir membuktikan lelaki ini masih kekal relevan sebagai penghibur.
Membawa bicara soal karya keempat Faizal sehingga kulit albumnya mencetuskan kontroversi, seraya melemparkan senyuman pemenang kategori album terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-15 pada tahun 2008 itu seolah-olah dapat menjangka soalan yang bakal diasak kepadanya.
Lali dengan kritikan dilemparkan, Faizal memberitahu, kerana kulit album tersebut dia dituduh murtad dan disamakan seperti iluminati serta tanda salib.
Hanya tersenyum dengan kata-kata nista itu, dia tidak kisah berdepan segala kritikan kerana orang tidak memahami maksud di sebalik setiap gambar terpapar dalam kulit album itu.
“Ketika proses menghasilkan kulit album ini, pihak Warner Music, kru yang terlibat dalam pembikinan album termasuk keluarga saya risau dan selalu bertanya tentang penerimaan masyarakat terhadap hasilnya nanti. Saya hanya tersenyum dan menganggap ia tiada masalah dan tahu apa yang sedang dilakukan.
“Secara ringkasnya, setiap gambar yang terdapat dalam kulit album itu mempunyai maksud tersendiri kepada diri saya. Sebagai contoh, kuda merupakan haiwan kegemaran saya, manakala ia berwarna hitam dan putih melambangkan Ying Yang.
“Kepak burung itu sebagai simbolik meminati pasukan bola sepak Liverpool. Saya juga mengambil inspirasi lukisan Vitruvian Man daripada Leonardo da Vinci,” terangnya yang mengambil masa selama lapan bulan untuk menyiapkan kulit album tersebut bersama Dannyhau Miskam.
Mengulas berhubung pemilihan judul album Anatomi yang membawa maksud kajian atau pengetahuan mengenai binaan tubuh setiap hidupan, penyanyi lagu Assalamualaikum itu memberitahu, anatomi dalam album tersebut membawa maksud pecahan yang berkaitan dirinya.
“Benar, kebiasaannya orang memahami anatomi adalah kajian berkaitan tubuh badan, namun anatomi dalam album ini, ia membawa maksud pecahan berkaitan diri saya.
“Walaupun ia adalah Anatomi Faizal Tahir tetapi album ini sarat dengan mesej positif kepada masyarakat dan industri muzik. Saya harap semua orang terhibur dengan muzik yang baik dalam album ini dan pada masa sama mendapat impak positif,” katanya penuh yakin.
Privasi
Hampir sedekad berkecimpung dalam industri, umum mengetahui agak jarang melihat Faizal tampil bersama isteri dan anak-anaknya.
Dalam kesempatan yang ada, bapa kepada enam orang anak itu sempat diaju persoalan tentang keluarga yang dianggap begitu eksklusif untuk tatapan umum. Mengakui tidak mahu mengorbankan privasi keluarganya, sambil tertawa Faizal memberitahu:
“Sebenarnya saya seorang yang sukakan privasi. Untuk pengetahuan, sebelum saya sampai ke tahap ini, saya merupakan seorang yang sangat pemalu. Bagaimanapun, agak mustahil untuk menyebarkan mesej positif dan berkarya tanpa dikenali.
“Biarlah saya sahaja yang mengorbankan privasi kehidupan saya tetapi bukan keluarga. Saya mahu anak dan isteri hidup seperti biasa. Begitupun, kadangkala saya tetap berkongsi gambar anak-anak dalam Instagram.
“Saya juga bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang sangat memahami kerjaya saya dan sering menyokong saya dalam apa jua keadaan,” ujarnya seraya menggulung bicara.