Pelaburan baharu Liyana Jasmay


KOS - Liyana sanggup berhabis sekitar RM70,000 untuk menjalani penggambaran klip video di Los Angeles, Amerika Syarikat.

BERTEMU dengan aktres Liyana Jasmay pada pelancaran single terbaharunya, Oh Nana dan Selesa Tanpamu baru-baru ini, wanita itu kelihatan lebih meyakinkan sebagai penyanyi.

Secara asasnya, pandangan sebegitu penting buat Liyana yang mesra dipanggil Nana. Sebelum ini, kemampuan vokalnya menjadi suatu pertikaian sewaktu pertama kali membuat percubaan sebagai penyanyi dengan hit Aku Tak Percaya Cinta.

Paling teruk, dia pernah dilabelkan sebagai penyanyi dengan mutu vokal yang kurang bermutu.

Selepas tiga tahun menyepi tanpa sebarang single, kali terakhir menerusi lagu Jujur pada 2013, Liyana mahu kerjaya nyanyiannya dipandang serius, bukan sekadar aksesori mencantikkan profil seninya.

Atas alasan tersebut, dia sanggup melaburkan wang, tenaga dan masa semata-mata demi menjalani penggambaran klip video dua buah single ciptaan Alyph Sleeq itu di Los Angeles, Amerika Syarikat. Selama empat hari di sana, dia menghabiskan kos keseluruhan sekitar RM70,000.

“Sebenarnya perancangan untuk melancarkan dua single tersebut dibuat sejak tahun lalu. Tetapi disebabkan sudah lama tidak menyanyi secara langsung saya agak bimbang dan mengambil masa.

“Enggan orang memperlekehkan bakat nyanyian, saya melakukan persediaan begitu rapi termasuklah menghadiri kelas vokal secara peribadi. Alhamdulillah, saya sendiri merasai perubahan positif sejak mengikuti kelas tersebut,” ujar Liyana yang bekerjasama dengan Warner Music Malaysia untuk pemasaran lagu berkenaan.

Memilih Los Angeles sebagai destinasi penggambaran klip video, keputusan tersebut nyata tepat setelah melihat hasilnya.

Meskipun terpaksa menjalani penggambaran ketika musim panas di kawasan padang pasir dan berdiri di tepi cenuram, Liyana nekad demi sebuah karya berkualiti.

“Cabarannya begitu banyak, paling tidak boleh dilupakan adalah melakukan penggambaran di padang pasir yang menjadi habitat ular orok-orok.

“Saya terpaksa berdiri di tebing curam hanya untuk mendapatkan pemandangan yang cantik. Itu belum dikira kulit wajah yang menggelupas akibat cuaca panas kering di sana. Apa pun pengarah, Jeany Amir melakukan kerja dengan baik,” tutur Liyana yang memberitahu destinasi pertama penggambaran klip video pilihannya ialah New Zealand.

Mengikut perancangan, ibu kepada dua orang anak perempuan, Sofia Arissa, 2 tahun dan Selena, sembilan bulan itu bakal mengadakan konsert jelajah ke tiga buah negara sekitar Disember depan. Selain Malaysia, dua lagi destinasi pilihannya ialah Indonesia dan Singapura.

Memandangkan ia berbentuk konsert, Liyana harus mempersiapkan diri kerana tidak mempunyai banyak lagu. Antara singlenya yang pernah hit hanyalah Aku Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta dan Cinta Bersatu.

Justeru, dia bakal melahirkan sebuah album penuh pada tahun depan dengan beberapa buah lagu baharu yang kini dalam proses pembikinan.

“Menganjurkan sebuah konsert bukan mudah, saya perlu mempunyai barisan lagu baharu untuk menghiburkan penonton. Awalnya, saya tiada rancangan untuk terbitkan album penuh disebabkan pasaran tidak begitu baik.

“Namun, fikiran saya berubah selepas diyakinkan Alyph dan merancang konsert. Ia berisiko, tetapi itu adat perniagaan. Album ini boleh dikira pelaburan untuk kerjaya nyanyian saya,” kata Liyana.

Kaya

Selain kerjaya dalam bidang seni, isteri kepada Fathuddin Mazlan juga memiliki rangkaian perniagaan sendiri seperti syarikat produksi Mermaid Studios dan butik pakaian Mermaid Store yang diusahakan bersama kakaknya Adriana Jasmay.

Aset yang dimiliki bagaimanapun tidaklah datang bergolek tanpa usaha keras diri sendiri meskipun dilahirkan dalam keluarga berada. Ramai yang menyifatkan Liyana mampu melakukan apa sahaja dihajati hasil sokongan kewangan daripada bapanya, Jasmay Shah, seorang ahli perniagaan.

“Tidak adil bagi saya apabila ada pihak beranggapan apa yang dimiliki hari ini adalah hasil pemberian bapa semata-mata. Sejujurnya, keluarga saya bukanlah tergolong orang kaya-raya sehingga tidak perlu melakukan sebarang pekerjaan.

“Memang benar bapa ada memberi bantuan dalam bentuk pelaburan, tetapi adat orang berniaga mereka inginkan keuntungan. Begitu juga dengan bapa. Saya tidak boleh sambil lewa, sebaliknya melakukan perniagaan secara serius sambil dibantu oleh kakak yang tidak berhenti melontar idea dan kritikan jujur,” ujar Liyana.

Tambahnya, tiada jalan pintas untuk berjaya meskipun dilahirkan dalam keluarga berada. Tiada pihak yang mampu menghadiahkan kejayaan buat seseorang selain daripada diri sendiri.

“Sebelum memulakan sebarang projek atau perniagaan, saya akan membuat kajian secara terperinci. Tiada orang mahu rugi dalam perniagaan. Seperti dalam perniagaan pakaian, saya juga melalui kesukaran seperti peniaga lain.

“Tahun pertama amat sukar, tetapi saya belajar banyak perkara tentang selok- belok bisnes pakaian. Sekarang jenama Mermaid Luxe sudah mendapat kepercayaan ramai dan untuk mengekalkan momentum tersebut bukan mudah,” katanya yang bakal melancarkan filem terbitannya, Bella & Jamie pada tahun depan.

Tidak hanya dalam bidang perniagaan, Liyana juga pernah memiliki pengalaman jatuh bangun dalam dunia lakonan. Mungkin tidak ramai yang tahu, pelakon yang mencipta nama di layar perak menerusi Castello itu pernah dirundung kecewa dengan bidang lakonan sekitar 2011.

Menurutnya, pada waktu tersebut, kebanyakan syarikat produksi lebih cenderung memilih pelakon yang memiliki wajah jelita sebagai bintang utama filem terbitan mereka.

“Saya pernah putus asa untuk meneruskan karier lakonan kerana merasakan produksi dan peminat lebih menggemari pelakon cantik berbanding yang memiliki bakat lakonan.

“Tambahan pula, saya telah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi dua buah acara terbesar negara, apa lagi yang mahu cuba dibuktikan.

“Pengalaman itu yang menjadi titik tolak untuk saya mencuba bidang baharu seperti nyanyian dan perniagaan,” tuturnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post