Adrian Edy Video viral bawa tuah


Adrian Edy

BIARPUN pada peringkat awal, pemuda yang berasal dari Papar, Sabah ini hanya suka-suka memuat naik video Dubsmash di media sosial miliknya, namun lama-kelamaan, ia mula menjadi serius dan kini ada di antara video yang dilakukannya mencapai lebih 700,000 tontonan di laman Facebook.

Ternyata, ia akhirnya mendorong Adrian Edy Siaw Chee Hwa atau lebih mesra dengan panggilan Edy, 20, untuk lebih serius dalam melakukan video parodi yang mencuit hati.

Ditanya mengenai perkembangan video parodinya itu dengan lebih lanjut, anak kedua daripada empat beradik ini memberitahu, setakat ini, dia sudah pun memuat turun lebih 20 video yang rata-ratanya mendapat tempat di kalangan pengguna media sosial.

“Pada awalnya, saya menggunakan aplikasi Dubsmash dalam melakukan video viral ini. Tetapi kini, saya lebih selesa menggunakan aplikasi video biasa atas sokongan dan bantuan daripada rakan juga.

“Setakat ini, video yang paling viral ialah sebuah video parodi yang diinspirasikan daripada drama Abang Bomba I Love You.

"Setakat ini ia sudah ditonton lebih 68,000 kali di Instagram saya iaitu @adrianedy7. Idea untuk video lakonan pendek itu saya peroleh kerana saya sendiri minat dan mengikuti drama tersebut. Tidak sangka pula ia jadi viral dan pastinya saya rasa bangga,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pemuda ini juga kini mulai berjinak-jinak dalam lakonan dan apa yang menariknya, sebelum terjun ke dunia lakonan, Edy terlebih dahulu aktif dengan paparan video pendek atau ‘vine’ di media sosial.

“Selain memaparkan gambar-gambar peribadi, saya juga ada muat turun video pendek. Jadi bila sudah berlakon, saya anggap video yang dibuat itu juga adalah sebagai medium untuk saya mengasah lagi bakat serta kebolehan dalam lakonan.

“Kiranya, selain menghiburkan pengguna media sosial, pada masa sama juga saya dapat membuat latihan berlakon,” katanya yang bakal muncul menerusi drama 26 episod berjudul Gaduh-Gaduh Sayang yang akan bersiaran di RTM tidak lama lagi.

Edy turut mengakui, andai diberi peluang oleh penggiat seni tempatan, dia mahu lebih fokus terhadap lakonan dan tidak teragak-agak untuk menjadikan bidang seni sebagai kerjaya utamanya selepas ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post