WANITA dan kecantikan mempunyai hubungan yang begitu sinonim dan menyedari hakikat itulah, aktres versatil, Izreen Azminda mengambil inisiatif memperkenalkan jenama harumannya sendiri iaitu Lurve Me by Izreen Azminda.
Mengakui obses dengan haruman, pelakon drama Misiku Sado ini turut teruja apabila dia diberi penghargaan untuk melancarkan barisan pewangi tersebut bersama Global Halal Exchange (GHX), iaitu sebuah ‘eMarketplace’ untuk industri halal.
“Alhamdulillah atas pelancaran haruman ini bersama dengan pihak GHX, yang mana ia bakal dipasarkan di jaluran media sosial. Jadi sudah pasti saya mengharapkan respons yang baik terhadap produk ini. Terima kasih atas sokongan dan penghargaan yang diberikan.
“Perancangannya sudah lama, tetapi hari ini merupakan detik yang manis buat saya kerana menjadi antara selebriti terawal dalam ‘eMarketplace’ ini,” katanya.
Turut hadir dalam sesi pelancaran berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Dagang Nexchange Berhad (DNeX), Datuk Samsul Husin dan Pengarah Pemasaran GHX, Datuk Mohd Nasaruddin Ahmad.
Ditanya perihal haruman itu, Izreen yang mengambil cuti panjang daripada lakonan bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap pemasaran produk tersebut menjelaskan, Lurve Me by Izreen Azminda didatangkan khas dalam empat varian berlainan iaitu Lusty Gold, Crush Red, Cravers Pink dan Melty Blue.
“Rekaannya cukup eksklusif dan ‘fancy’. Ia sesuai dipakai oleh semua wanita di Malaysia, termasuk golongan muda.
"Saya sendiri suka dengan keempat-empat varian tersebut dan sebagai seorang pelakon, sudah pasti masa banyak dihabiskan di set penggambaran atau sesi fotografi yang tidak menentu. Jadi haruman ini memberi keyakinan buat saya. Paling penting, ia halal,” katanya.
Menurutnya, harga harumannya juga berpatutan iaitu RM39.90.
"Jadi tentunya ia mesra pembeli dan boleh dimiliki sesiapa sahaja. Insya-ALLAH, pelancaran haruman ini saya kira sebagai penanda aras untuk saya lebih fokus dan komited terhadap perniagaan pula. Lebih 10 tahun dalam lakonan, rasanya sudah tiba masa untuk saya melangkah ke depan dengan menceburi bidang lain,” ujarnya.
Izreen berkata, dia sudah dapat membayangkan masa hadapannya, di mana tidak mahu statik hanya pada satu produk semata-mata, sebaliknya turut merancang untuk mengembangkan empayar Lurve Me by Izreen Azminda dengan melancarkan item kecantikan lain pula selepas ini.
Pada masa sama, Izreen juga akan tampil dengan bukunya sendiri tidak lama lagi.
“Masih terlalu awal untuk saya dedahkan mengenai perincian penerbitan buku tersebut. Cuma apa yang pasti, ia berbeza dengan bahan bacaan lain kerana ia merupakan seleksi puisi yang saya nukilkan sendiri sejak sekian lama. Ya, ia terhasil daripada pengalaman lalu, suka dan duka,” kata Izreen.