PENYANYI berbakat besar, Hazama mengakui industri muzik tanah air semakin berkembang pesat. Katanya, situasi itu dapat dilihat menerusi kemunculan bakat-bakat baharu selain penerimaan pelbagai genre muzik oleh masyarakat.
“Lihat sahaja, ramai penyanyi-penyanyi baharu muncul. Ia satu perkembangan yang baik. Bahkan, masyarakat juga lebih terbuka dalam menerima pelbagai genre muzik.
“Sebagai contoh, hari ini, genre hip-hop semakin diterima berbanding 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambahnya, perkembangan industri muzik juga dapat dilihat apabila ramai penggiat seni berlumba-lumba menyumbangkan sesuatu kepada industri.
“Macam saya, saya mahu terus menghasilkan lagu yang berkualiti terutama daripada segi susunan, mixing dan lirik.
“Saya sangat menitikberatkan soal penulisan lirik kerana ia menjadi sumber pendidikan kepada masyarakat, selain untuk berhibur,” katanya.
Atas dasar itu, selebriti berusia 32 tahun ini mengakui, penghasilan album fizikal juga merupakan sumbangan besar daripada seseorang penyanyi.
“Bagi saya, seorang penyanyi itu perlu menghasilkan album.
“Ini kerana, album akan menentukan apakah sebenarnya minat, perjuangan, ideologi dan hala tuju seseorang penyanyi.
“Bahkan, masyarakat juga akan lebih mengenali kita,” katanya.
Pun begitu, penyanyi lagu Malaikat ini menyedari akan ‘kesukaran’ dalam menjual album fizikal sehingga akhirnya merugikan penyanyi itu sendiri.
“Saya akui memang susah untuk menjual album. Saya sendiri turut melaluinya.
“Tapi, saya tidak ralat jika album saya tidak terjual, sebaliknya saya akan mengkaji apakah kekurangan album tersebut.
“Sebab itu, penting untuk penyanyi menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti selain mampu memberi sesuatu yang lebih dekat kepada peminat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hazama bakal melancarkan album keduanya, tidak lama lagi.
“Album kedua saya mempunyai sembilan lagu dan mendapat sentuhan komposer hebat seperti Datuk M Nasir, Ad Samad, Ajai dan Taja,” katanya.
Sementara itu, Hazama turut menerima tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 18 Disember depan.
Juara Akademi Fantasia musim sembilan (AF9) itu tercalon menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Lelaki (Sampai Mati), Video Muzik Terbaik (Sampai Mati) dan Lagu Pop Terbaik (Sedetik Lara).
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencalonan yang diterima.
“Saya tidak sasarkan apa-apa kemenangan kerana menjadi antara lima terbaik pun sudah cukup bagus apatah lagi persaingannya hebat-hebat belaka,” katanya.