Saharul Ridzwan Belum Sedia Kongsi Berita Isteri Hamil


Pelakon Saharul Ridzwan belum bersedia untuk mendedahkan teka-teki mengatakan isterinya, Qaabila Deena Emir sedang hamil anak pertama mereka yang berusia sebulan.

Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, berkata, dia akan berkongsi berita gembira itu apabila tima masanya kelak dan berharap peminat terus mendoakan yang terbaik buat mereka.

"Apa yang boleh saya katakan, saya belum bersedia untuk kongsikan perkara ini dan akan mendedahkannya apabila tiba waktu yang sesuai.

"Sehingga hari ini isteri tidak menunjukkan apa-apa tanda atau alahan tertentu dan kami bahagia menjalani kehidupan berumahtangga,” katanya kepada mStar Online.

Saharul dan Qaabila atau nama sebenarnya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 28, bernikah pada 16 September lalu.

Aktor itu ditemui pada majlis perasmian pembukaan cawangan keenam Estetika Medispa di sini, pada Selasa.


Saharul Ridzwan dan Qaabila Deena Emir bernikah pada 16 September 2016.

Estetika Medispa merupakan pusat kecantikan wajah yang menggabungkan cara rawatan berteknologi moden dan tradisional dengan menggunakan produk berkualiti tinggi yang selamat dan berkesan.

Ditanya adakah kenyataannya itu sengaja dibuat untuk membiarkan peminat terus berteka-teki, dia hanya tersenyum tanpa mengulas lanjut.

Dalam perkembangan lain, Saharul memberitahu mata kirinya kini cedera akibat kanta lekap yang dipakainya koyak.

"Sudah tiga hari mata saya cedera akibat kanta lekap yang saya kenakan koyak sehingga mencederakan selaput kornea mata kiri saya.

"Biarpun doktor memberitahu ia adalah kecederaan minor. namun ia memerlukan hampir dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Kata Saharul, ini adalah kejadian kali kedua setelah perkara yang sama berlaku pada lima tahun lepas.

"Saya sebenarnya rabun jauh namun kurang selesa memakai kaca mata selain berasa cepat pening.

"Biarpun ini kecederaan kali kedua, saya tidak pernah serik untuk terus memakai kanta lekap,” katanya.

Terbaru mengenai perjalanan kerjaya seninya kata Saharul dia menunggu tiga telefilemnya untuk ditayangkan di televisyen iaitu Liga Masjid (Astro), Trauma (TV3- DFKL) dan sebuah lagi untuk siaran HyppTV.

Filem pertamanya iaitu Hantu Rumah Sakit Jiwa juga dijangka akan ditayangkan pada hujung tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post