Siti Nurhaliza mahu terjemahan berbeza


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar (lima dari kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil MAKNA, Tan Sri Dzulkifli Abdul Aziz (empat dari kiri) dan turut diperhatikan Siti Nurhaliza pada Karnival AirAsiaMAKNA 2016 baru-baru ini.

KEPUTUSAN Datuk Siti Nurhaliza menarik balik klip video single baharunya, Menatap Dalam Mimpi daripada laman perkongsian video, YouTube selepas dimuat naik dalam tempoh 12 jam pada 2 November lalu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Biarpun penyanyi nombor satu negara itu menjelaskan, beliau mempunyai keyakinan bahawa pihak produksi yang diberi kepercayaan membikin video tersebut telah melakukan yang terbaik, namun pada masa sama, Siti juga mempunyai alasan tersendiri berhubung tindakan yang telah diambil.

Atas alasan kualiti, Siti berbuat demikian kerana mahu membikin semula klip video yang baharu demi kepuasan berkarya.

Penyanyi yang baru sahaja mendominasi tujuh daripada 16 kategori pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik 2016 itu bagaimanapun menegaskan, penghasilan klip yang pertama tidaklah begitu mengecewakan, sebaliknya atas perbincangan semula, usaha terbaik harus dibuat demi kepuasan peminat.

Siti menjelaskan perkara tersebut ketika ditemui pada sidang akhbar kempen #AirAsiaMAKNA 2016 di ruang legar pusat beli-belah Avenue K, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau hadir memberikan sokongan terhadap kempen tersebut yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM350,000 bagi manfaat Majlis Kanser Nasional (Makna).

KOSMO!: Difahamkan klip video single baharu anda bertajuk Menatap Dalam Mimpi kini ditarik balik daripada YouTube, boleh berikan sedikit penjelasan?

SITI NURHALIZA: Saya faham semua pihak produksi klip video tersebut telah melakukan yang terbaik tetapi hasilnya kurang memuaskan bagi diri saya. Bukan itu sahaja, saya ingin membikin semula video tersebut kerana saya merasakan ia boleh diperbaiki. Alhamdulillah, apabila hal tersebut disuarakan kepada pihak Universal Music Malaysia, mereka bersetuju untuk membikin semula klip video berkenaan

Untuk klip video baharu, adakah masih menggunakan khidmat pihak produksi yang sama? Bagaimana pula dengan konsepnya?

Untuk pembikinan klip video yang baharu, saya akan menggunakan khidmat produksi lain. Kali ini saya serahkan kepada pihak penerbit lagu tersebut. Saya cuma mahukan terjemahan berbeza terhadap lagu tersebut supaya ia lebih lembut dan tidak terlalu terang-terangan.

Boleh terangkan apakah kekurangan klip video yang telah ditarik balik baru-baru ini?

Saya tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak, cuma ketika penggambaran dijalankan, saya akui kami kesuntukan masa. Pihak produksi sudah mencuba yang terbaik. Saya sudah meminta pihak tersebut membuat suntingan menggunakan teknik pencahayaan yang lebih baik. Bagaimanapun, ia tetap tidak memuaskan.

Apa harapan anda terhadap pembikinan klip video yang akan dibikin semula nanti?

Sebagai seorang artis, kita perlu menekankan kualiti. Setiap produk yang dikeluarkan akan menjadi bahan untuk peminat di luar sana menilai hasil kerja saya, sama ada ia bagus atau sebaliknya.

Saya ada juga mengambil komen daripada peminat dan pihak profesional yang arif dalam hal ini. Sudah tiba masa untuk saya menekankan kualiti dalam setiap perkara, bukan sahaja berkaitan muzik.

Adakah anda berasa terkejut ketika menonton klip video tersebut?

Sebenarnya, saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Bagi saya, mereka telah melakukan yang terbaik, namun saya mempunyai pandangan peribadi. Saya tidak kecewa kerana klip video boleh dibikin semula.

Baiklah, untuk pembikinan album studio terbaharu, Aubrey Suwito ada membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan lagu buat anda di laman sosial. Boleh jelaskan?

Saya percayakan kredibiliti Aubrey sebagai seorang komposer dan penerbit album. Saya telah melantiknya untuk mencari material terbaik untuk dimuatkan dalam album akan datang.

Justeru, usaha mencari lagu yang terbaik untuk album akan datang tidak hanya terbatas kepada komposer profesional.

Post a Comment

Previous Post Next Post