
BIARPUN sering menerima kecaman daripada peminat di laman sosial, namun Nabil Ahmad berkata, setakat ini dia masih belum pernah mengalami situasi dimarah peminat ketika bertemu di luar.
PELAWAK dan pengacara, Nabil Ahmad sememangnya tidak pernah lekang daripada kontroversi membabitkan jenakanya. Dia yang mula dikenali sebagai pelawak lebih lapan tahun lalu kerap menerima kritikan setiap kali muncul dalam mana-mana persembahan sama ada di atas pentas lawak atau pada majlis yang menyaksikan dirinya menjadi pengemudi rancangan.
Nabil adakalanya disifatkan sebagai keterlaluan, kurang sensitif, malah menimbulkan rasa kurang senang pada bahan lawak yang diusulkannya. Walhal, sebagai pelawak dan hos yang bukan setahun jagung, dia tahu dan sedar batasan.
Bagaimanapun sebagai seorang individu, dia tidak boleh mengawal pemikiran khalayak untuk bersetuju dengan usikan nakalnya.
Alah bisa tegal biasa, Nabil ketika ditemui pada sesi fotografi untuk filem terbaharunya berjudul Bopeng baru-baru ini berkata, dia sudah lali menjadi bahan kecaman peminat.
Apa yang pasti, sebagai seorang pengacara atau pelawak, lelaki berusia 32 tahun itu tahu apa yang terbaik untuk dilakukan ketika menjalankan tugasnya.
KOSMO!: Nabil, boleh dikatakan dalam setiap penampilan sebagai hos atau pelawak, pasti anda dikritik kerana ada pihak yang berasa kurang selesa dengan usikan anda. Hal ini termasuklah sewaktu anda mengacarakan program Gegar Vaganza. Boleh komen sedikit?
NABIL: Berkenaan perkara itu, apa yang saya boleh katakan adalah sebagai seorang pengacara, saya mahu buat sesuatu yang lain daripada orang lain iaitu cara penyampaian berbeza dengan cara program-program lain yang saya kendalikan. Penonton perlu faham, selain Gegar Vaganza, saya ada beberapa buah program lain seperti MeleTOP.
Pengisian program GV sangat berbeza dengan MeleTOP yang lebih kepada santai. Saya tidak akan fokus kepada gaya penyampaian yang sama untuk semua program kendalian saya.
Bagi saya, kecaman itu sedikit sebanyak membantu menaikkan rating program berkenaan. Jika diikutkan, pada minggu pertama, jumlah tontonan mencecah sehingga 3.3 juta.
Ia bagaimanapun menjadi empat juta tontonan pada minggu kedua. Secara purata, sebanyak 40 peratus rating program ini naik berbanding musim terdahulu.
Adakah situasi sebegini mengganggu emosi anda?
Secara jujur, saya tidak mengharapkan semua peminat menerima perkara ini sebab kalau tidak, ia bertukar menjadi sebuah program yang membosankan tanpa adanya perkara-perkara sebegini.
Selagi pihak produksi tidak memberi sebarang notis, jadi rasanya perkara ini bukan masalah besar. Secara peribadi, saya berasa sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada keluarga produksi program ini untuk tahun ketiga berturut-turut. Saya juga yakin hasil kerja saya dipercayai pihak produksi.
Jadi, adakah anda rela dikecam semata-mata untuk memastikan program tersebut sentiasa menjadi bualan ramai walaupun dengan cara sebegini?
Saya sanggup. Kalau itu bayaran dan risiko yang perlu saya tanggung, mengapa tidak. Setiap kali sebelum bermula episod baharu, saya dan Jihan akan berbincang lawak apakah yang akan kami lakukan di atas pentas.
Sebab objektifnya hanya satu, kami mahu peminat bercakap mengenai minggu tersebut sehinggalah ke episod seterusnya. Inilah yang kami mahu iaitu kesan yang berjaya ditinggalkan selepas persembahan setiap minggu berakhir.
Adakah anda membaca atau mengambil tahu tentang kritikan peminat di laman sosial?
Tidak. Saya tidak mahu ambil tahu langsung mengenai apa yang orang bercakap tentang saya. Sebabnya, saya seorang yang tidak suka mencampur adukkan soal emosi dengan kerja.
Pernah juga kawan-kawan menghantar rakaman skrin komen-komen tersebut dengan tujuan menyakat saya. Jadi, kadang-kadang saya tidak terlepas juga daripada terbaca kecaman peminat.