Sudah lama mencanai bakat sebagai pelakon, Mustaqim Bahadon, 31, tidak pernah kenal erti putus asa meskipun belum berpeluang menjayakan watak utama.
Sehingga kini, pelakon yang memulakan karier menerusi drama bersiri Asmaradana pada tahun 2010 itu masih terus diberi watak pembantu.
Biarpun kadangkala kecewa dengan apa yang dilalui, ia bukan alasan untuk Mustaqim meninggalkan bidang ini sebaliknya bersyukur tawaran berlakon tidak pernah putus.
“Teringin juga hendak memegang watak utama atau hero dalam sesebuah cerita. Namun belum ada rezeki saya.
“Tidak tahulah apa sebabnya. Mungkin kerana terlalu ramai pelakon baru dan kacak rupa paras sehingga saya tidak berpeluang.
“Sesekali rasa kecewa juga kerana saya sudah lama berlakon dan bermula daripada bawah sebagai pelakon tambahan sehinggalah diberi watak pembantu,” katanya yang pernah menjayakan drama Hidayahmu Ramadan.
Tidak hanya mengharapkan watak hero, Mustaqim juga selesa andai ada peluang menjayakan watak gelap.
Mengulas perkembangan terbaru, Mustaqim berdebar menantikan tayangan filem lakonannya, Surf This Love yang turut dibintangi Shukri Yahaya, Pekin Ibrahim dan Josiah Hogan.
Baginya, pengalaman berganding dengan bintang hebat sangat berharga dan sedikit sebanyak dapat mengubat rasa kecewa.
“Saya gembira dapat beraksi dengan ramai pelakon hebat. Ilmu yang dikongsi mereka dapat saya praktikkan dalam lakonan.
“Kebelakangan ini juga saya banyak dapat tawaran beraksi di layar perak. Syukur dan teruja menunggu tayangan semua filem ini.
“Pada saya tidak kisah filem atau drama, selagi ada tawaran saya terima saja. Sekurang-kurangnya saya dapat gali ilmu daripada pelbagai pihak,” katanya.
Selain Surf This Love, Mustaqim turut membintangi KL Special Force, KL Vampire dan Kau Yang Satu yang akan ditayangkan tahun depan.