Remaja tinggi lampai berdarah campuran India-Cina, Zachary Puung Li Xin, dinobatkan sebagai juara pencarian wajah Hatta Him kedua, baru-baru ini.
Pada acara cetusan pereka fesyen terkemuka, Hatta Dolmat, yang diadakan di ibu kota itu, anak muda berusia 18 tahun itu menewaskan sembilan finalis lain.
Dengan kemenangan berkenaan, beliau membawa pulang hadiah dalam bentuk biasiswa pengajian bernilai RM40,000, kontrak setahun bersama Hatta Dolmat, wang tunai RM4,000, kamera, telefon bimbit dan trofi.
Zachary turut menerima minyak wangi yang dilancarkan Hatta baru-baru ini.
"Selain mahu terus mengukir nama di pentas peragaan, saya juga sebenarnya ingin mencuba bidang lakonan jika diberikan peluang.
Begitupun, saya sesekali takkan mensia-siakan pengajian dalam mengejar impian di arena terbabit.
Saya akan terus memberikan fokus pada pengajian sehingga berjaya menggenggam ijazah.
"Saya percaya, pada usia yang masih muda, saya patut meneroka peluang baharu yang terbentang di depan mata," katanya.
Ketika ini, Zachary yang mempunyai ketinggian 183 sentimeter mengikuti pengajian dalam bidang seni di sebuah kolej di ibu negara.
Menurutnya, penyertaan dirinya dalam pertandingan berkenaan juga banyak didorong oleh keinginannya untuk menjadi peragawan terkemuka.
"Keluarga juga banyak memberikan saya galakan dan motivasi untuk menyertai pertandingan ini," kata bakat kelahiran ibu kota ini.
Pertandingan akhir Hatta Him 2016 pada 5 November lalu menyaksikan Nana Mahazan bertindak sebagai pengacara, manakala penyanyi, Ezlynn dan kumpulan De Fam pula menghiburkan tetamu yang hadir memeriahkan acara.
Tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada acara itu ialah selebriti seperti Dafi, Ryzal Jaafar, Reza Mohamed, Kate Davies selain peragawati ternama, Tinie.