
PENYANYI dan komposer sedang meningkat naik, Ippo Hafiz mengakui tidak pernah berkecil hati kerana belum dikenali meskipun lagu-lagunya sering mendapat perhatian peminat.
Dia sebenarnya cukup berpuas hati apabila karya ciptaannya mendapat perhatian kerana kualiti dan bukan atas sebab lain.
“Jujurnya, saya tidak begitu mengambil tahu soal populariti kerana saya adalah orang yang bekerja di belakang tabir dan lebih seronok memberi tumpuan kepada kualiti penghasilan sesuatu karya itu.
“Jadi apabila orang lebih kenal lagu berbanding diri saya sendiri, itu bukan masalah malah berbangga kerana lagu itu diminati atas sebab kualitinya walaupun tidak mengenali penyanyinya," katanya yang percaya peminat akan mencari penyanyi atau komposer berkenaan.
Nama Ippo Hafiz dikenali kerana lagu-lagunya sering menjadi lagu tema drama popular dan dalam tempoh dua tahun di bidang ini, pemilik nama sebenar Muhammad Hafiz Yaziz telah menghasilkan lebih 35 lagu tema drama.
Dia sendiri tidak menyedari sudah menghasilkan lagu sebanyak itu kerana tidak pernah merancang, sebaliknya secara kebetulan apabila ada penerbit yang memintanya membuat lagu untuk drama mereka.
“Dari situ saya mengambil peluang memperkenalkan lagu ciptaan saya kepada masyarakat.
“Lagu Rahsia (drama Teman Lelaki Upahan) menjadi lagu pertama yang memperkenalkan nama saya," katanya.
Menurut penyanyi ini lagi, album pertama yang menggunakan namanya sebagai judul, Ippo Hafiz mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan sejak dilancarkan sekitar Jun lalu.
“Alhamdulillah walaupun tidak mengenali penyanyinya, mereka memberi sokongan kerana kesemua 11 lagu popular sebagai lagu tema drama," katanya.
Ippo berkata, dia merancang mengadakan sesi jelajah mempromosikan album di beberapa lokasi terpilih awal tahun depan selepas kesibukannya dengan kerja-kerja di studio,
"Saya turut mencipta lagu untuk Roni Hussien, Irfan Harris dan beberapa penyanyi lain.
“Saya memang berbesar hati mencipta lagu untuk penyanyi lain, tetapi ketika ini masih terikat dengan merakam enam lagu baru yang bakal dijadikan lagu tema drama dan filem," katanya yang berharap dapat bekerjasaa dengan penyanyi lain menghasilkan karya yang diterima ramai.
Ippo juga mengakui terkejut apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya yang menjadi lagu tema Cinta Si Wedding Planner iaitu Kekal Bahagia tercalon ke peringkat Separuh akhir Muzik-Muzik.
“Ini pencapaian saya kerana tidak mudah berada di tahap ini.
“Inilah pencetus semangat kepada penyanyi baru seperti saya untuk melangkah lebih jauh,” ujar Ippo.