Intan Ladyana simpan sebuah rahsia


RESUME yang dimiliki Intan Ladyana ketika mewarnai industri lakonan sejak satu dasawarsa lampau tidak lagi perlu dipertikai.

Dianggap antara aktres kelas A lantaran memiliki repertoir yang tidak kurang hebatnya sejak dahulu, pesona yang dimiliki pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya itu bagaimanapun dilihat sedikit samar, terutamanya dengan kehadiran wajah-wajah baharu yang silih berganti.

Ada yang membuat congakan sendiri kononnya Intan menyepi selepas kisah cintanya sebelum ini tidak kesampaian sedangkan hakikatnya, hanya tuan empunya diri yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Tawaran itu masih ada seperti mana dahulu, cuma terpaksa ditolak terutamanya apabila berlaku pertindihan jadual dan sebab-sebab lain.

“Sejujurnya, saya kini semakin selektif kerana tidak mahu dikatakan asyik membawakan watak yang sama.

“Justeru, ada baiknya saya meneliti skrip terlebih dulu, jika ada kelainan watak insya-Allah,” getusnya kepada Sensasi Bintang.

Tidak khuatir tindakannya yang menyepi sebelum ini kelak memakan diri sendiri, Intan juga bersedia seandainya tidak lagi dikenali peminat lantaran jarang terpacul di layar perak mahupun kaca televisyen.

“Saya bukannya bersembunyi, cuma harus lebih bijak membahagikan masa terutamanya apabila semakin berjinak-jinak dengan bisnes.

“Saya reda jika itu berlaku kepada saya dan perlu sentiasa bersedia jika tidak lagi popular.

“Dalam kitaran roda kehidupan, kita tidak selama-lamanya berada di atas, begitu juga sebaliknya,” getusnya menguntum senyum.


PEJAM celik, sudah satu dasawarsa Intan bergelumang dalam bidang lakonan.

Menganggap ia sebagai satu saingan sihat, Intan sentiasa percaya kepada rezeki kurniaan Yang Maha Esa di sebalik kehadiran wajah-wajah baharu.

“Ia satu perkara yang bagus kerana memberikan industri lebih banyak pilihan, mana mungkin asyik-asyik wajah kita saja.

“Siapa tahu, ada juga watak yang tidak sesuai untuk pelakon-pelakon baharu, justeru saya sentiasa percaya rezeki tetap ada untuk semua orang,” ungkap Intan.

Bisnes

Setia bersama syarikat produksi MIG sejak lebih lima tahun lalu juga bukan penyebab utama Intan untuk mencuba angin baharu.

“Saya tiada sebarang masalah bekerjasama dengan MIG terutamanya apabila mereka menjaga jadual saya dengan cukup baik sejak dahulu.

“Bukan apa, lebih mudah berada di bawah pengurusan berbanding bergerak sendiri, jadi hanya perlu fokus mengenai kerjaya,” jelasnya.

Ungkap Intan, cabaran berbisnes juga dianggap sebagai cabang baharu dalam kehidupannya apabila kini memiliki label pakaiannya sendiri iaitu Intan Ladyana by Desa Murni Batik.

“Saya berkolaborasi bersama Desa Murni Batik selama setahun dan koleksi itu telah dilancarkan baru-baru ini.

“Sudah tentu saya teruja apabila berpeluang memberikan idea serta memiliki label pakaian sendiri.

“Buat masa ini, saya sibuk dengan promosi pakaian, selain perlu bersiap siaga menjelang keluaran Aidilfitri tahun depan seperti kaftan, kain, jubah dan sebagainya,” ceritanya lagi.

Menyentuh mengenai perkembangan kariernya, Intan memberitahu, dia baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Anda Telah Diprank arahan Pauline Tay untuk siaran HyppTV.

“Dalam telefilem bergenre psycho-thriller itu, saya membawakan watak bernama Suria yang gemar mengenakan orang lain bersama sekumpulan rakan-rakannya.

“Cuma, masalah sebenar mula timbul apabila mangsa terakhir terbunuh dan kami kemudiannya dihantui bayangan mangsa yang dibunuh,” ceritanya yang bakal bergandingan bersama pelakon lain seperti Aizat Hassan dan Dayang Areeda dalam telefilem itu.


REZEKI Intan dalam dunia lakonan masih sama seperti mana dahulu.

Rahsia

Tidak lagi selesa untuk membicarakan kisah cinta secara terbuka seperti mana sebelum ini, Intan bagaimanapun berkongsi sedikit rahsia yang hanya diketahui rakan-rakan ketika zaman persekolahan.

“Terdapat satu insiden yang menyebabkan saya dipanggil Bello. Hanya teman-teman rapat yang tahu mengapa saya diberikan nama gelaran seperti itu,” ujarnya melentur tawa di bibir.

Mengakui seorang yang kelam-kabut dan mahu melakukan segala-galanya serentak, Intan juga tanpa berselindung hanya akan terlena jika ditemani lampu tidur kerana takut berada dalam kegelapan.

“Gara-gara gemar bercakap, saya juga mudah haus dan perlu meminum air dalam kuantiti yang banyak.

“Selain itu, saya juga memiliki tabiat suka mencuci tangan tidak kira masa selain memerlukan tisu basah, gel pembunuh kuman dan sebagainya.

“Saya juga cukup sukakan manisan seperti coklat, gula-gula, aiskrim dan kek, memang pantang dibuatnya,” jelasnya.

Sengaja ditebak siapa dirinya yang sebenar jika tidak bergelar pelakon sekarang, ini jawapan jujur Intan Ladyana sebelum menoktah bicara.

“Jika mengikut kelulusan sebelum ini, mungkin saya akan bergelar peguam jika tidak menjadi pelakon,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post