DEMI jangka masa panjang, Hafreez Adam memilih untuk bergerak sendiri dalam industri hiburan.
Lantaran itu, pelakon berusia 26 tahun ini tidak lagi bernaung di bawah syarikat pengurusan, Uprising Entertaiment, sejak bulan lalu.
“Sudah tiba masanya saya berfikir mengenai masa depan.Jadi, saya juga perlu belajar berdikari.
“Lagipun, keputusan ini dibuat secara baik melalui perbincangan bersama,” katanya kepada Sinar Harian.
Atas faktor itu, pelakon drama Bila Hati Berbicara ini mengakui sedang melatih ahli keluarganya menguruskan kerjaya seninya.
“Saya ambil keputusan melatih adik dan kakak sebagai pembantu serta pengurus.
“Lagipun, adik saya baharu sahaja tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala kakak pula sudah berhenti kerja sebagai akauntan.
Katanya, dia lebih selesa bersama keluargakerana mereka lebih memahami.
Dalam perkembangan lain, Hafreez bakal bergandingan dengan pendatang baharu, Afifah Nasir menerusi drama bersiri, Pengantinku Jatuh Dari Langit .
Hafreez mengakui senang bekerja bersama Afifah walaupun tidak saling mengenali sebelum ini.
"Lagipun kami menalani penggambaran berasingan dan kami hanya berjumpa di set penggambaran selepas sebulan," katanya.
Kini, baik Hafreez mahupun Afifah lebih memahami dalam mencari titik persamaan menerusi watak masing-masing dan berharap lakonan mereka diterima baik peminat.
"Kami seperti satu keluarga dan cukup seronok cukup menyeronokkan menyiapkan drama ini. Karakter dan personaliti kami yang berbeza dalam drama ini membuatkan ia bertambah menarik,” katanya.
Selain Hafreez dan Afifah, drama 30 episod ini turut menampilkan Faye Kusairi, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.
Drama arahan Idora Abdul Rahman ini bakal bersiaran setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di HyppSensasi (HyppTV 116) dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV) mulai 30 November ini.
Pada masa sama, Hafreez bakal muncul dalam drama usaha sama Indonesia dan Malaysia, Gantung untuk siaran Astro.