Impak romantika Zamarul Hisham


Pengarah Menyimpan hasrat untuk duduk di kerusi pengarah, impian berkenaan terpaksa dipendam Zamarul kerana karier lakonannya masih mahal dalam industri.

Melewati usia 40-an, ternyata bisa karakter Zamarul Hisham Mohamed masih belum bersisa. Buktinya, dia masih menjadi pilihan penerbit untuk membawa peranan hero.

Mulanya, dia teragak-agak untuk memikul tanggungjawab menjayakan watak utama, namun Zamarul nekad memberanikan diri menyahut cabaran yang jarang-jarang singgah ke laman karier itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia berfikir semasak-masaknya bukan kerana tidak yakin dengan kemampuan diri, sebaliknya suami kepada pelakon Diana Rafar itu cukup sedar, zaman kini cukup berbeza. Pada usia 45 tahun, dia harus berjalan seiring dengan pelakon-pelakon muda yang disanjung dan punya pengaruh kuat di laman sosial.

Apa yang ada padanya untuk diberikan kepada peminat hanyalah kesungguhan, bakat dan pengalaman sebagai pelakon yang sudah menjejak kaki ke dunia seni sejak hampir 25 tahun lalu.

Hakikatnya, kemunculan Zamarul membuahkan impak. Bukan sahaja karakter Johan memberikan petunjuk bahawa bakatnya masih relevan, bahkan dia juga diperli konon-kononnya mahu menyaingi pelakon muda dan tidak sedar terlalu berusia untuk memikul peranan hero.

“Semasa jadi hero dalam Cinta Masam Manis, bukan sekali dua saya dilemparkan sindiran sinis, bukan hanya daripada peminat, bahkan ada juga sebilangan pelakon yang menganggap saya cuba untuk menjadi muda dan menidakkan usia senja.

“Dalam drama tersebut saya tidak membawa watak orang muda tetapi lelaki yang sudah melewati usia 40 tahun yang bercinta dengan orang muda. Ini adalah realiti yang ada berlaku dalam dunia sebenar dan apa yang penting, saya bukan syok sendiri,” katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan Melayu baru-baru ini.

Menerusi drama Cinta Masam Manis, Zamarul memegang watak sebagai Johan, seorang duda anak dua yang jatuh cinta pada Nur Sarah lakonan Izara Aishah dan mencuba pelbagai cara untuk memikat hati gadis pujaannya itu.

Secara peribadinya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menganggap jalan cerita drama berkenaan sedikit sebanyak mengingatkan dirinya terhadap kisah cinta bersama Diana dahulu, memandangkan ketika mula berkenalan, wanita itu baru berumur 17 tahun dan berjarak usia kira-kira 12 tahun.

Hero tua

Memperincikan isu hero tua yang diakui sendiri olehnya, Zamarul tidak pernah berasa terkilan atau makan hati apabila sesetengah pihak melabelkannya dengan jolokan sedemikian.

“Memang saya tua, untuk apa menidakkan kenyataan? Sekurang-kurangnya saya mengaku dan masih mampu membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk jadi hero,” jelasnya optimis.

Tambah pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 itu, sambutan baik penonton terhadap Cinta Masam Manis turut memberi semangat kepada pelakon seangkatannya untuk meneruskan survival dalam bidang seni.

Bercakap dari sudut pandangan peribadinya juga, Zamarul mengakui dia memandang tinggi sesetengah pelakon generasi baharu sekarang yang mencapai populariti seiring bakat dimiliki.

Namun, jika ada yang awal-awal lagi sudah mahu menunjukkan belang, dia ada cara tersendiri untuk melihat sejauh mana pula hebatnya mereka di tengah gelanggang.

“Adat dunia hiburan, yang muda dan tampan memang mempunyai tempat di hati peminat. Namun, jangan hanya kerana mengejar rating, golongan pelakon senior dilayan seperti acuh tidak acuh sahaja,” katanya sambil melempar pandangan jauh ke luar.

Tempoh lebih dua dekad dalam industri juga telah menumbuhkan halaman indah dalam ruang hidup Zamarul sebagai pelakon.

Jika dahulu halaman tersebut sering menjadi tumpuan segenap mata, kini ia sedikit suram daripada diintai khalayak. Zamarul sedar, peralihan zaman sedikit sebanyak menjarakkan pelakon sepertinya dengan peminat.

Publisiti buat pelakon sepertinya juga sudah tidak sekencang sebagaimana yang diraih pada usia awal 30-an.

Ramuan

Tidak mencemburui ruang publisiti yang diraih pelakon-pelakon muda yang sedang meneguk populariti ketika ini, Zamarul cuma mengharap keseimbangan ruang untuk sama-sama memeriahkan industri hiburan tempatan.

“Sejujurnya, saya cuma rindukan sesi bertemu peminat dan fotografi bersama media. Sekarang, peluang sebegitu datang hanya sesekali dan saya cukup menghargainya,” ujar lelaki berlesung pipit itu ceria.

Meminta pelakon yang sering disamakan dengan dramatis 1990-an, Harun Hashim itu berbicara tentang utuh keberadaannya dalam industri, Zamarul tiada ramuan keramat.

Prinsipnya mudah, berlakon kerana kecintaan dan bukannya demi mengejar glamor. Biarpun pegangan sama mungkin dikongsi kebanyakan pelakon lain, sampai ke tahap sekarang, Zamarul telah membuktikan kata-katanya.

Dahulu tiada laman sosial dan tidak banyak medium menjual bakat selain sesebuah karya itu sendiri yang diperakui peminat.

“Alhamdulillah, sepanjang bergelar pelakon, karier saya belum pernah terhenti. Namun harus diakui, tawaran sekarang tidak selebat dahulu.

“Apa yang membuatkan saya bertahan ialah minat dan inilah periuk nasi saya sejak dahulu. Saya berlakon demi menjaga keluarga dan selagi orang mahukan saya.

‘‘Insya-Allah saya akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik,” katanya seraya menutup pertemuan tempoh hari dengan sebuah senyuman penuh kesyukuran.

Post a Comment

Previous Post Next Post