
Persembahan bergaya Gmie Screen pada konsert minggu kelima GV3 di Auditorium MBSA minggu lalu mencetuskan harapan ramai bahawa dia bakal ke pentas akhir GV3 tidak lama lagi.
Disifatkan sebagai bukan peserta pilihan atau underdog pada awal pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), vokalis kumpulan Screen, Gmie semakin ‘bertaring’ apabila terus meledakkan magis pada konsert minggu kelima minggu lalu menerusi dendangan lagu Sentuhan Kecundang nyanyian asal Ekamatra.
Terkejut dengan sambutan peminat terhadap penglibatannya menerusi GV3, Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim, 45, tidak menyangka perjalanannya dalam pertandingan tersebut masih bertahan sehingga ke tahap hari ini.
Akui Gmie, awalnya dia berasa amat kerdil jika dibandingkan dengan peserta-peserta lain.
Ditemui Kosmo! usai konsert mingguan GV3 di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini, Gmie yang bakal mendendangkan lagu tugasan Titian Penjalanan (XPDC) pada konsert minggu keenam, Ahad nanti berkongsi survival seni walaupun kini namanya disanjung ramai.
KOSMO!: Tahniah Gmie kerana mara ke peringkat yang seterusnya. Mulanya anda dilihat sebagai underdog tetapi saban minggu nama anda terukir sebagai antara peserta yang bakal ke final GV3. Apa komen anda?
GMIE: Alhamdulillah, memang tidak sangka saya mampu mara sejauh ini. Sebenarnya, saya masuk pertandingan bukan untuk bersaing dengan sesiapa. Apabila membuat persembahan di atas pentas, saya hanya ingin buat yang terbaik kerana tahu ramai orang berkorban masa dan wang ringgit untuk menyokong saya dalam pertandingan ini.
Memegang status sebagai peserta underdog, ia menjadi kelebihan kerana di atas pentas, saya bebas untuk melakukan persembahan. Dalam erti kata lain, saya tidak tertekan dengan harapan orang. Tapi kini apabila bahang persembahan semakin meningkat setiap minggu, saya semakin berazam untuk membuat persembahan yang lebih baik.
Dari mana anda mendapat kekuatan dan inspirasi untuk hadir dengan persembahan yang terbaik setiap minggu?
Apabila mendapat tugasan, saya tetapkan minda bahawa apa pun yang berlaku, saya perlu melakukan persembahan sehabis baik kerana saya membawa harapan peminat yang tidak henti-henti menyokong penglibatan saya dalam pertandingan ini.
Sejujurnya, saya mendapat sokongan padu daripada majikan saya dan anggota kumpulan Screen sendiri yang hadir setiap minggu untuk menyaksikan persembahan saya.
Maaf bertanya, apakah pekerjaan anda sebelum menyertai GV3 dan walaupun kini sedang bertanding, adakah anda masih lagi terikat dengan pekerjaan tersebut?
Saya masih lagi bekerja sebagai kerani logistik sebuah syarikat swasta di Pelabuhan Klang. Walaupun bertanding dalam GV3, saya masih lagi bekerja di situ.
Alhamdulillah, majikan dan rakan-rakan sekerja memberikan sokongan seratus peratus untuk saya berjaya dalam pertandingan ini.
Saya bertuah kerana majikan memberikan kelonggaran waktu bekerja untuk memberi fokus dalam GV3. Saya tetap bekerja seperti biasa walaupun bertanding dalam pertandingan ini.
Bagaimana dengan nasib Screen selepas berakhirnya pertandingan nanti? Adakah anda ingin bergerak solo atau bersatu semula dengan Screen?
Screen memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi sejak saya menyertai GV3. Setiap anggota kumpulan seperti Wan, Ujang dan Adie selalu hadir ke konsert mingguan untuk memberikan sorakan kepada saya. Saya akui, sebelum GV3, tawaran nyanyian memang kurang.
Memang tidak banyak dan boleh kira dengan jari. Kalau ada jemputan pun, penganjur hanya mengundang saya.
Jadi, selepas GV3, saya mahu melihat Screen aktif semula. Insya-Allah, kita tengoklah rezeki macam mana. Saya akan tetap membawa nama Screen walau di mana berada.
Barangkali ramai yang musykil bagaimana anda masih mampu menyanyi dengan cukup baik walaupun usia semakin meningkat. Boleh kongsi rahsia anda?
Saya tiada rahsia. Bagaimanapun, saya amat pentingkan waktu rehat. Untuk menyanyi dengan baik di atas pentas, saya perlukan rehat lebih enam jam sehari. Dari segi pemakanan, saya hentam apa sahaja (ketawa).