SEJAK awal penglibatannya dalam dunia seni lakon di Hollywood sehingga kini, Colin Farrell atau nama lengkapnya, Colin James Farrell kekal menjadi antara aktor paling hangat ekoran cerita sensasi yang sering terpalit dalam kehidupan glamornya.
Mungkin kerana paras fizikalnya yang tampan, aktor yang dilahirkan di Dublin, Ireland ini tetap dipuji sebilangan besar peminatnya dari dahulu sehingga kini biarpun pelakon baharu silih berganti di pentas lakonan Hollywood.
Perjalanan seni Farrell begitu panjang. Kerjanya bermula lewat 1990-an lalu menerusi drama The War Zone arahan Tim Roth.
Drama tersebut merupakan adaptasi novel terbitan pada 1989 dan keberkesanannya di dalam membawakan watak Nick membuka mata pengarah terkenal, Joel Schumacher untuk mempelawa aktor tersebut untuk beraksi di dalam drama arahannya, Tigerland pada 2000.
Sejak itulah, namanya kian mekar di gelanggang perfileman di sana sehingga ‘dibawa’ berlakon di dalam filem mega di samping aktres ‘kelas A’ di Hollywood.
Antara filem berskala mega yang pernah dilakonkan adalah Minority Report bersama Tom Cruise, Daredevil, SWAT dan Alexander bersama Angelina Jolie, Val Kilmer dan Jared Leto.
Terbaharu, Farrell yang dilahirkan pada 31 Mei 1976 ini bakal menemui peminatnya menerusi sebuah filem fantasi aksi berjudul Fantastic Beasts And Where To Find Them yang merupakan adaptasi kepada naskhah buku nukilan penulis tersohor, JK Rowling.
Filem berbajet besar itu merupakan siri pertama dan khabarnya, sekuel filem tersebut kini dalam rangka prepoduksi.
Selain Farrell, pelakon lain yang turut terlibat sama di dalam filem berkenaan ialah Ezra Miller, Alison Sudol dan Eddy Redmayne.
Berkongsi perasaannya apabila dapat bekerjasama dengan produksi besar itu, pelakon yang pernah menjalin hubungan cinta dengan penyanyi pop, Britney Spears beberapa tahun lalu itu dipetik berkata, ia merupakan satu tuah, apatah lagi filem tersebut merupakan filem besar yang ditunggu-tunggu.
“Pastinya saya rasa penglibatan di dalam filem Fantastic Beasts And Where To Find Them adalah satu kelebihan dan bertuah kerana dapat terlibat dengan pelakon baharu dan lama. Ia sesuatu yang menakjubkan,” tambah Farrell.
Untuk rekod, filem tersebut bakal ditayang di Malaysia pada pertengahan bulan ini.
Pada masa sama, beberapa filem lain lakonannya masih belum ditayangkan iaitu The Killing Of A Sacred Deer dan The Beguiled yang masih dalam proses penggambaran.