Zarul Husin Dapat Izin MAB Sertai Gegar Vaganza 3


Vokalis kumpulan Umbrella iaitu Zarul Husin tidak bimbang untuk mengambil cuti tanpa gaji secara berkala daripada majikannya Malaysian Airlines Berhad (MAB) bagi menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketiga.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 43, berkata, ini kerana pihak syarikat berpendapat penyertaannya dalam program berkenaan turut membawa nama syarikat penerbangan terbabit.

"Saya ambil cuti tanpa gaji secara berkala iaitu sebulan, sebulan dan kalau saya sampai peringkat akhir kira-kira tiga bulan jugalah.

"Pada awalnya pihak syarikat tidak benarkan, namun selepas mempertimbagkan semula perkara itu dan menganggap program itu merupakan program televisyen paling tinggi ratingnya, mereka luluskan. Mereka berpendapat secara tidak langsung saya turut membawa imej syarikat sekali," ujarnya.


Zarul bakal terlibat dalam program Gegar Vaganza 3.

Sementara itu, Zarul berkata, dia kini mula memasuki kelas vokal dan menjaga stamina sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan tersebut.

"Sejak tahu saya akan mula bertanding ini saya ada ambil mengikuti kelas vokal secara kasual. Walaupun saya sudah lama menyanyi tapi banyak perkara tentang teknik-teknik nyanyian yang saya tidak tahu.

"Saya juga sering menonton program realiti seperti Akademi Fantasia untuk mendengar komen pengkritik dan ambil yang positi untuk persembahan saya," ujarnya.

Penyanyi lain yang turut bertanding ialah Ameng (Spring), Gmie (Screen), Razis Ismail, Rem, Shidee (Data) Nora, Intan Sarafina, Azharina, Elly Mazlein, Siti Sarah dan Zur Eda.

GV3 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 12 Oktober ini secara langsung dari Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Post a Comment

Previous Post Next Post