Pelakon Ammar Alfian kesal dan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis selepas tersebar mesej di laman sosial kononnya dia menjalankan kegiatan mengugut individu tertentu bagi mendapatkan wang.
Ammar,28, berkata, dia akan mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang cuba memburukkan serta mengaitkan namanya atas pelbagai tuduhan tanpa sebarang bukti kukuh.
"Saya tidak ambil kisah apa yang orang nak tuduh tapi saya akan buat laporan polis tentang perkara ini.
"Saya mahu orang yang menuduh saya tanpa bukti akan terima akibatnya kerana dengan sewenang-wenangnya mengaitkan nama saya," ujarnya kepada mStar Online.
Ammar diminta mengulas tentang satu kiriman mesej di media sosial kepada mStar Online yang menuduh dia menyimpan foto-foto bogel dua wanita dengan tujuan tidak baik.
Individu tersebut mendakwa Ammar turut mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang wanita dan meminta wang daripada individu itu jika tidak mahu fotonya berkeadaan sedemikian didedahkan kepada umum.
Ammar Alfian
Sebelum ini Ammar turut terpalit dengan kontroversi apabila dituduh menjadi dalang menyebarkan gambar bogel kononnya milik pelakon Idris Khan dan Atikah Suhaime.
Sementara itu Ammar berkata, jika benar perkara tersebut berlaku, mengapa kedua-dua wanita itu tidak tampil untuk membuat laporan polis bagi mempertahankan hak mereka.
"Dari kes Idris Khan dahulu saya sudah minta mereka yang mengaitkan saya agar tampil dengan bukti tapi sampai sekarang tiada. Bila ada cerita buruk semua orang minta saya komen sedangkan saya tiada kena mengena dalam perkara ini.
"Orang yang bersalah pula terlepas dan terus mendapat perhatian di televisyen," ujarnya.
Dalam pada itu, Ammar turut meminta agar diberi ruang untuk melalui kehidupan yang bahagia tanpa sebarang gangguan negatif terutama berita-berita buruk mengaitkan dirinya.
Katanya, dia bukan lagi seorang artis dan tidak perlu diberi perhatian seperti dahulu.
"Saya cuma nak hidup tenang dan gembira sahaja. Saya ambil keputusan untuk keluar dari industri kerana tidak mahu dengar cerita-cerita begini.
"Saya sudah berkahwin dan ingin hidup baru dalam keadaan aman," ujarnya.
Dalam pada itu pemerhatian mStar Online terhadap laman sosial yang mengirimkan informasi berkenaan berada dalam mode 'private' dan seolah-olah seperti sebuah akaun yang dibuat bagi tujuan tertentu.