Sebelum rakam Terus Terang, Ifa Raziah tolak lebih 10 lagu


Penyanyi, Ifa Raziah, mengaku pernah menolak lebih 10 lagu yang diserahkan kepadanya sebelum muncul dengan single terkini, Terus Terang, baru-baru ini.

Menurut wanita yang turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara itu, beliau berbuat demikian bukan kerana karya terbabit tidak berkualiti ataupun kurang menonjol, sebaliknya sedar tahap keupayaan diri sendiri.

"Saya sedar keupayaan diri dan saya tahu apa yang saya boleh buat dan sebaliknya.

Saya juga sangat maklum mengenai tahap vokal saya.

"Kebanyakan emosi, rasa dan melodi lagu berkenaan dirasakan tidak kena dengan diri saya.

Begitupun, jika lagu terbabit diberikan kepada penyanyi lain yang lebih layak, saya rasa ia lebih sesuai.

Jadi, daripada terus mengambil risiko, lebih baik saya tidak mengambil lagu yang lain itu," katanya.

Hampir berputus asa dan kecewa apabila gagal menemui lagu bersesuaian dengannya, Ifa bagaimanapun menarik nafas lega apabila dihulurkan dengan karya ciptaan DJ Fuzz.

Lagu yang turut menampilkan kumpulan Lawa Nie Geng berkenaan kini rancak dipromosikan Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-29 itu.

Artis berusia 41 tahun yang turut menyandang jawatan Presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (BINTANG) itu berkata, beliau amat berpuas hati dengan kemunculan lagu berkenaan.

"Saya mahu lagu yang dihasilkan berbeza daripada dendangan yang pernah saya bawa sebelum ini, begitu juga dengan lagu nyanyian artis dangdut lain.

Syukur, Terus Terang berjaya memikat hati saya," katanya.

Ifa turut memberitahu, lagu berkenaan pada awalnya bukanlah berentak dangdut.

"Begitupun, apabila saya membawakan lagu itu, ia terus kedengaran seperti dangdut.

Contohnya, jika Azharina yang menyanyikan lagu ini, ia takkan jadi dangdut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ifa akan terbang ke Jakarta, Indonesia, bagi menjayakan tugas sebagai pengkritik program realiti D'Academy Asia.

Beliau akan bergilir-gilir menggalas tugas berkenaan bersama beberapa juri lain.



Post a Comment

Previous Post Next Post