PENYANYI hebat, Salamiah Hassan mengakui kemilau glamor tidak pernah menjadi sebab dirinya memilih bidang seni sebagai kerjaya tetapi minat dalam bidang nyanyian adalah segala-galanya.
Dari mula bergelar penyanyi selepas menyertai pertandingan Bakat TV (1971) anjuran RTM, sehinggalah kepada 45 tahun perjalanan seninya, Salamiah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Mama ini masih memegang pendirian serupa.
“Saya jadi penyanyi bukan kerana mahu hidup glamor, tetapi ketika itu nyanyian adalah minat dan kecenderungan utama.
“Siapa sangka kerana minat itu jugalah saya masih bergelar sebagai penyanyi sehingga sekarang yang akhirnya menjadi punca rezeki kami sekeluarga,” ujarnya yang berusia 20 tahun ketika mula menceburi bidang seni.
Album pertama Salamiah, Surat Terakhir yang diterbitkan pada tahun 1973 menerusi syarikat rakaman Life Records, menjadi permulaan penyanyi ini mencipta nama.
“Ketika itu saya mula rasa seronok apabila bakat nyanyian dapat menghiburkan orang ramai, sedangkan sebelum itu saya hanya menyanyi untuk diri sendiri sahaja.
“Alhamdulillah, pendapatan sebagai penyanyi ketika itu juga agak bagus kerana bayarannya cukup berbaloi dengan segala usaha dan penat lelah yang dicurahkan,” katanya yang pernah merakamkan lebih 14 buah album ini.
Berkongsi tentang cabaran dilaluinya ketika rancak menempa nama suatu masa dahulu, Salamiah yang cukup popular dengan lagu Gelombang dan Menghitung Hari ini tidak menafikan dirinya pernah ditipu pihak penganjur.
“Dulu perkara utama yang kita fikirkan ialah menghiburkan peminat dan soal bayaran pula jatuh nombor dua sehingga ada pihak mengambil kesempatan menipu pembayaran.
“Selepas beberapa kali berdepan situasi seperti itu, saya mengambil inisiatif menggunakan khidmat pengurus agar kerjaya seni dapat diuruskan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.
Digelar Ratu Jingles
Menurut Salamiah lagi, situasi industri seni dulu dan kini mempunyai perbezaan yang sangat besar, terutama dalam konteks bakat dan cara bekerja.
Tambahnya, dahulu industri hiburan mempunyai artis berbakat besar dan mempunyai komitmen tinggi dalam kerjaya mereka.
“Kalau mahu bergelar penyanyi, seseorang itu mesti ada suara bagus dan hebat, tetapi sekarang semua orang boleh jadi penyanyi kerana segala kekurangan boleh dikaburi dengan teknologi.
Ibu kepada penyanyi Atilia itu juga berbangga bergelar penyanyi dari era sebelum ini kerana pengalaman itu membentuknya lebih profesional dan bertanggungjawab kepada komitmen.
“Misalnya, sebelum persembahan, saya pasti akan adakan latihan akhir, soundcheck dan persediaan rapi walaupun ada yang menganggap saya tidak perlu berbuat demikian,” ujarnya.
Mungkin ramai yang tidak tahu, selain popular dengan lagu-lagu daripada rakaman album, penyanyi ini juga aktif menyumbangkan suaranya menyanyikan lagu iklan di kaca TV sekitar tahun 1980an.
“Pada mulanya saya lakukan hanya untuk suka-suka sahaja, tetapi tidak sangka mendapat reaksi positif sehingga menerima tawaran demi tawaran,” katanya yang pernah digelar sebagai Ratu Jingles.
Pada usia 65 tahun, Salamiah masih lagi aktif menyanyi dan belum terfikir untuk bersara selagi masih ada sokongan peminat.
Malah dia juga merancang merakam kembali lagu-lagu lamanya dalam versi baharu selain bakal menjayakan konsert solonya di Singapura tidak lama lagi.
“Selagi ada tawaran dan kesihatan masih baik, apa salahnya saya meneruskan apa yang dilakukan selama ini.
“Insya-ALLAH, saya dijemput menjayakan konsert solo di Esplanade, Singapura, Januari tahun depan dan ini sesuatu yang di luar jangkaan apatah lagi pada usia begini,” akuinya.