Ruhainies didera suami jutawan


RUHAINIES menukar rambutnya kepada warna gelap bagi menjayakan watak gadis baik dalam drama Luna Elvira.

Pelakon, Ruhainies, sanggup menukar rambutnya kepada warna gelap bagi menjayakan watak gadis baik dalam drama Luna Elvira.

Menerusi drama yang bakal ditayangkan menerusi TV9 itu, Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, memainkan watak wanita baik yang mengidamkan kebahagiaan dalam perkahwinan, namun ia tidak kesampaian apabila suaminya yang juga seorang jutawan berubah sikap dengan mendera dirinya.

Watak suaminya itu dijayakan oleh bakat baharu, Syazuwan Hassan.

Sebelum ini, pelakon manis berkenaan terkenal dengan gaya rambut kemerah-merahan yang dilihat serasi dengan kulit wajahnya yang putih bersih.

Kata Ruhainies, watak berkenaan ditawarkan kepadanya kerana pihak penerbit berasakan perwatakannya yang lembut bersesuaian dengan karakter diketengahkan, iaitu wanita naif yang menjual nasi lemak.


RUHAINIES menjayakan watak wanita baik yang didera suami.

"Bagi menjayakan watak wanita baik yang didera suami, saya mengambil pendekatan untuk menggelapkan warna rambut, semata-mata untuk karakter ini.

Bukan atas permintaan pengarah, sebaliknya saya sendiri berhasrat melakukannya untuk kesesuaian watak.

"Saya ada bertanya kepada pengarah, sama ada watak berkenaan memerlukan saya untuk bertudung atau tidak.

Berikutan ia watak yang menampakkan rambut, jadi saya memilih untuk menghitamkannya kerana warna sekarang tidak sesuai dengan watak penjual nasi lemak," katanya kepada BH Online.

Ruhainies mula dikenali menerusi drama adaptasi novel berjudul Hello Mr Perfect yang turut membariskan Fattah Amin sebagai teraju utama.

Dalam pada itu, sebagai artis Ruhainies berkata, beliau harus menitikberatkan soal penjagaan diri.

Justeru, jika ada kelapangan pelakon ini mencuri waktu untuk memanjakan diri di pusat kecantikan bagi memastikan penampilannya sentiasa menawan.

"Saya baharu saja mencuba kaedah rawatan muka iaitu terapi oksigen di klinik kosmetik Idealyst.

Ia sangat bersesuaian dengan wajah saya dan kulit kelihatan berseri-seri selepas menjalani rawatan berkenaan.

Malah, jurusolek turut memberikan pujian.

"Sebagai pelakon, kita berdepan dengan pelbagai faktor seperti solekan dan lampu di lokasi penggambaran yang boleh merosakkan kulit wajah. Saya memilih untuk meneruskan rawatan ini dan mencuri masa ke Idealyst apabila ada masa terluang," kata Ruhainies.



Post a Comment

Previous Post Next Post