Walaupun perniagaan yang diusahakan Rozita Che Wan mencatat kejayaan memberangsangkan, pelakon dan pengacara jelita itu menyifatkan masih banyak perkara yang perlu dikuasainya untuk mengukuh dan mengembangkan lagi sumber rezekinya.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, sejak kebelakangan ini semakin kerap menyertai seminar dan baginya banyak perkara yang masih belum dikuasainya meskipun perniagaannya berterusan mencatat pertumbuhan positif.
"Dalam perniagaan, susah jika tiada ilmu. Disebabkan itu, saya ambil pendekatan untuk belajar dan menambah ilmu di dada. Tidak rugi jika belajar dan memperbaiki diri. Apabila kita belajar sesuatu yang baharu, semakin banyak teknik dan taktik perniagaan yang dapat dikutip.
"Semua ilmu itu membantu saya untuk mengembangkan dan memperluaskan cabang perniagaan pada masa akan datang," katanya.
Rozita kini menjalankan empat jenis perniagaan dengan menceburi dunia penerbitan menerusi syarikat produksi, Padusi Pictures, selain fesyen dengan label Padusi, minyak wangi dan produk penjagaan diri wanita. Setakat ini, setiap perniagaan diusahakannya meraih keuntungan yang memberangsangkan.
Menerusi seminar yang disertainya juga kata Rozita, beliau diajar hal berkaitan pengurusan wang selain cara untuk menjana pendapatan secara bebas masa.
"Bukan setakat mempelajari ilmu perniagaan, saya juga belajar mengenai pengurusan selain strategi untuk menjana pendapatan dan menambahkan lagi keuntungan daripada hasil yang diperoleh. Saya akan terapkan ilmu yang dipelajari ini dalam perniagaan dan tidak sabar untuk melihat keberkesanannya nanti," katanya.